Thursday 6 June 2013

Terlanggar bahu jua akhirnya

"Ustaz..ustaz! Kami nak main Zus Tang? Best lah main zus tang..", Awis meminta dengan bersungguh-sungguh. Budak ni memang pandai berlakon. Padahal baru darjah 5.

"Nanti kita main ya..kita habiskan yang ni dulu", aku memberi janji.

Latihan Dalam Kumpulan(LDK) diteruskan lagi. Aku diberi tajuk tentang SOLAT. Aku membelek-belk modul yang diberikan. Hmm, keistimewaan solat, azab meninggalkan solat. Apa lagi? Oh, cara-cara solat yang betul. Skema. Terdetik didalam hati aku begitu.

"Heh..heh. Apa kacau orang tu??".

"Z ni ustaz! Dia kacau saya dulu!". Kapten Z, sengaja aku beri nama begitu kerana dia beria-ia nak jadi ketua kumpulan.

Baru beberapa saat aku diam pasti hingar bingar suasana kumpulan aku. Aku menoleh ke arah kumpulan lain. Budak-budak kumpulan Aiman lagilah, terus berlari-lari keliling masjid. Aku tergelak kecil.

"Ustaz..ustaz! Tengok ni..".

"Hesh, jangan panggil abang 'ustaz' lah". Pada mulanya aku memang berasa janggal apabila dipanggil 'ustaz', kerana janggut aku kah?

"Habis tu nak panggil apa?"

"Haha. Panggil abang 'taukey'!"

"Apa? Tauge??". Serentak mereka ketawa. Sumpah aku tak dapat tahan gelak. Haha.



...................................................................................................

Mula-mula aku dipaksa rela untuk menjadi fasi Program Anak Soleh. Skema kan namanya?haha. Hampir seminggu juga aku merungut-rungut, tak ada orang lainkah? Kena layan budak-budak lagi..sekolah rendah pula tu. What??

Aku pun menunjukkan ketidakaktifan aku sebagai fasi. Memberontak kononnya. Nasib baiklah ada 2 orang kawan yang umurnya muda setahun dari aku memang berpengalaman mengajar sekolah rendah. Mereka yang banyak aku contohi untuk handle budak-budak ni. Selama aku jadi fasi pun tak pernah lagi dapat peserta umur 11 tahun. 

.........................................................................................

"Eh korang tau tak kenapa kita kena solat?". Perkataan 'korang' tu aku cuba sedaya upaya untuk menggantikan kepada 'kamu semua'. Banyak kali juga tersasul.

"Hmm, sebab dah wajiblah!". Haris menjawab dengan penuh semangat sambil mengangkat tangan kepadaku, macam Karam Singwalia. =.=' (Camne eja nama dia?)

"Ok. Jawapan lain?"

"Betul ke jawapan tadi, ustaz??"

"Nanti abang bagitau. Jawapan lain?".

"Sebab dia ada dalam Rukun Islam!". Kali ni Daniel menjawab. Daniel ni paling matang aku kira diantara mereka.

"Kenapa pun kalau dia ada dalam Rukun Islam?", aku bertanya kembali.

"Laa, Rukun Islam tu kan wajib! Kalau dah ada dalam Rukun Islam, jadi wajiblah!".

"Hehe. Bagus..bagus. Pandai. Tapi abang nak jawapan selain 'wajib'". Aku cuba memberi mereka kefahaman, bukan sekadar mereka HAFAL hukum.

"Hmm, alaa..wajiblah. Nak apa lagi?". Masing-masing buat muka tak puas hati kerana tak boleh jawab.

"Haha. Abang bagi contoh ye, Hanip cipta robot..".

Tiba-tiba, Haris menyampuk. "Eleh, mustahillah Hanip boleh buat robot!". Semua di situ tergelak.

"Eh, abang kata contoh, kan?"

Dia tersengih-sengih.

"Ok. Hanip cipta robot. Dia cipta robot tu untuk robot tu suapkan makanan kat Hanip".

"Eee, pemalasnya Hanip!!". Semua di situ menunjuk ke arah Hanif. Hanif tersenyum-senyum sahaja. Dia puak yang pendiam dalam kumpulan.

"Tapi, masalahnya.. Robot tu taknak suapkan Hanip makanan! Dia bagi Hanip minum pula! Mestilah Hanip marah kan? Penat-penat buat, robot tu tak nak ikut arahan". Aku berhenti seketika. Kemudian menyambung,"ha, macam itulah Allah. Dia yang mencipta kita, maka kita WAJIB mendengar suruhan Dia. Allah suruh kita solat, kita wajiblah buat. Kalau taknak, mesti Allah marah!".

Haris mencelah lagi,"kenapa Allah cipta kita pula??"

Aku terdiam seketika. Aku dah agak mesti kena banyak-banyak kalau buka perbincangan. Aku cuba memikirkan jawapan yang terbaik. 

"Ha, yang itu Allah dah bagitau dalam Al-Qur'an, kamu pernah buka surah Al-Dzariyat?". 

Masing-masing menggeleng.

"Ok. Balik nanti buka surah Al-Dzariyat, ayat 56, ya??". Aku membaca ayat itu secara hafazan.

"Huiyyoo!! Ustaz belajar kat Mesir ye?"

Aduhai korang ni.. 

"Ha, ayat yang abang baca tadi ertinya ialah, 'dan tidaklah Aku menciptakan Jin dan MANUSIA melainkan untuk BERIBADAH kepadaku'. Jadi, Allah ciptakan kita semua ni untuk beribadah kepada Dia, untuk belajar rajin-rajin, untuk hormat mak ayah, faham?"

"Oooo..."

Comel sungguh mereka!

.....................................................................................................

Adakalanya mereka terlalu bising. Sampai tika aku terasa mahu mengherdik mereka. Tiba-tiba aku dibawa kepada diriku yang dahulu...

"Fathiy! Balik nanti, cuba kamu tanya mak kamu, 'dulu masa mak mengandungkan saya, mak suka makan burung murai ke?' ". Ustazah Noorwati hilang sabar agaknya melihat aku yang paling kecoh dalam kelas. Mulut tak reti diam.

Aku tersengih-sengih sahaja.

Aku tak jadi marah apabila terkenangkan ayat ustazah dulu. Lama aku renung mereka bergurau, kadang-kadang aku tergelak sama, gelak mereka tak pernah pura-pura. Lain benar apabila diri menginjak dewasa ini, seringkali  gelak tak ikhlas semata-mata nak jaga hati orang. Senyum pun begitu. Fake smile!

Kadang-kadang Awis bertanya aku soalan, pada mulanya aku menganggap dia paling pandai berlakon, konon nak tanya soalan, tapi sebenarnya nak buat lawak. Namun, aku berasa ragu dengan pandangan aku sendiri. Aku lihat ditengah matanya. Jujur. Memang dia nak tahu. Aku tak tahulah macam mana aku buat, tapi aku dapat rasa. 

..................................................................................

Aku lihat gelang ditangan Arif. Aku ingin menegur bahawa lelaki tak boleh pakai gelang. Namun, tika itu juga aku ter flashback ke masa silam. 

Aku berjalan kesekolah dengan bergaya. Bangga. Aku memandang-mandang gelang Nike warna putih di pergelangan tangan. Aku membelinya dengan harga yang agak mahal. RM20 seingat aku. Betapa aku sayang gelang aku. Ori kot! Selalu aku duduk bersama kawan-kawan aku yang memakai gelang juga, saling berbangga dengan gelang masing-masing.

Sampailah ayah aku menyuruh aku buang gelang tu. Namun, aku sayang. Aku simpan dia dalam almari. Glow in the dark kot! 

Aku terfikir, kalau aku tegur gelang dia, mesti dia rasa aku terlalu mengongkong sebab aku pernah berkeadaan begitu dahulu. Jadi, aku sekadar sembang-sembang mengenai gelang itu. Malangnya, kawan-kawan dia yang lain suka benar mengerumuni aku kalau aku tengah cakap dengan salah seorang daripada mereka. Teringin benar mereka nak tahu! 

.....................................................................................

Daniel menarik muka masam. "Ustaz, diorang main tipu..mana aci!". Kami baru bermain permainan letupkan belon. Sudah tentulah peserta yang berusia lebih tua menang. Haha.

Aku tersenyum mendengar rungutan dia. "Tak apalah Daniel. Kan Allah suka orang jujur? Menang pun bukan dapat apa..".

Aku sebenarnya amat terkejut dengan jawapan spontan daripada mulut aku ketika itu. Aku terfikir, bagaimana aku boleh menjawab dengan begitu 'skema'? Err, tapi aku sangat bahagia ketika jawab kepada Daniel. Terasa itulah jawapan jujur daripada hati aku. Aku terfikir-fikir sebabnya sampai balik rumah, 

Aku rasa dah banyak kali aku memberi jawapan yang menurut kehendak si penanya, semata-mata untuk menyedapkan hati mereka. Selalu sangat! Jawapan yang jujur selalunya aku berikan kepada orang-orang yang amat rapat kepadaku, dek kerana itu, aku selalu menyakitkan hati orang-orang yang rapat dengan aku kerana jawapan aku selalu menyakitkan hati. Aku tak berfikir, dan terus jujur. Aku kira kalau mereka mengambilnya dengan berlapang dada, tanpa perdebatan, pasti baik hasilnya.

Oh, aku menemui diri aku dalam diri anak kecil!

.......................................................................................


"Abang..jom bertumbuk dengan saya??".

Tersentak aku memandang budak itu. Aku pandang bawah. Paras dada aku. Bukan daripada kumpulan aku. Tiba-tiba aku tersenyum. Aku teringat..

"Weh, kalau berani sinilah!". Aku mengacukan penumbuk. Seluar aku hampir setiap hari koyak. Baju kotor. 

"Alaa, kau ingat kau tu kuat sangat??". Budak yang aku ajak bertumbuk tu melaung.

Bukan sekali dua aku bergaduh. Bukan sebab benci atau marah, tapi kepuasan.

Aku tergelak lagi. Aku pegang lengan dia lalu bertanya, "kamu selalu bergaduh?"

Dia mengangguk.

Aku mencengkam lagi kuat. "Selalu gaduh dekat mana?".

"Kat tepi jalan!". Dia meronta meminta dilepaskan. Akhirnya dia berlari kepada kawan-kawannya. Aku suka sangat ketika itu. Dia mengingatkan aku, siapa diri aku dahulu.

Tengah hari itu, aku mengajaknya makan sama-sama. Aku menunduk, berbisik kepadanya,"jom makan dengan abang?"

"Ok". Nasib baik dia tak banyak songeh.

Banyak kami bualkan ketika makan tengah hari itu. Menarik budak macam ni. Pengaruh besar, logam yang baik!

Apabila dia berjalan sahaja, pasti ada kawan-kawannya dibelakang. Lagak seorang ketua. I like! Haha. Macam pengislaman Abu Dzar Al-Ghifari, pemimpin hebat, kaumnya menggerunkan Quraish kerana bekalan gandum. Dek kerana dia masuk Islam, Bani Ghifar memeluk Islam!

.................................................................................

Aku paling suka apabila melihat Firdaus tersnyum. Berkulit hitam manis orangnya. Senyumannya sentiasa menyejukkan hati. Ditambah lagi dengan gelagat kawan-kawan dia yang lain, mengusik, bergurau. Semuanya menyentuh hati aku. Penat, sungguh! Tapi gembira. 

Jaga budak-budak ni mengingatkan aku kepada mak aku. Mengajar sekolah rendah, bukan beberapa hari macam aku, tapi bertahun-tahun. Penatnya mak aku! Hari itu giliran aku lipat kain, tapi agaknya mak aku tau aku penat melayan kerenah budak-budak, dia sambil berbual dengan aku, sambil lipatkan kain. Aduhh..

Jika tak kena, mana tahu rasa.

Allah, betapa aku sayang mereka semua, moga-moga Kau jaga hati mereka dari diresapi fikrah-fikrah jahat. Risaunya aku, bagaimanalah mereka mengharungi sekolah menengah nanti..

"Ala..lepas ni tak dapat jumpa ustaz lagi!". Mereka bersuara apabila majlis penutup tamat.

Aku terharu, sambil tersenyum aku membalas,"kamu semua pergilah masjid hari-hari, kita boleh jumpa".

"Alaa..kami nak pergi hari Jumaat je la".

Aku tergelak. 

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Riwayat Muslim)

They have passion in ISLAM, dont ignore it!
Nurture it!