Sunday, 28 June 2015

Warkah Takdir

Patah demi patah aku cuba susunkan,
Letak, kemudian padam,
Berulang-ulang sampai aku pun keletihan,
Tiada kata yang wujud untuk menulis hati ini,
Ia tak pernah cukup.

Maaf, sepatah sahaja yang aku tahu ia tak pernah mengubat, tapi ia menyimpulkan hasrat.

Ingin aku menjerit berulang-ulang mengungkap maaf. Kerana mengacau hidup, kerna wujudnya perasaan ini!

Bohong kalau aku kata aku biasa-biasa sahaja.
Galaunya hati aku, hanya Tuhan yang tahu. Beratnya turun ke kaki, payahnya aku melangkah.
Rumitnya naik ke ubun-ubun, susahnya aku berfikir.
Sedihnya hingga menarik separuh ruh aku duduk berteleku menahan tangis..



Aku ingin bercerita tentang dua pokok kelapa, asal-usulnya,
dua buah kelapa hanyut,
dihempas ombak laut China Selatan,
teroleng-oleng tak pernah tahu mana akhirnya,
hari-harinya ditimpa hujan,
dibakar terik matahari,
dijanjikan janji manis apabila mendekati pulau,
namun pantai mencemuh kejam,
pergi lagi ia terapung-apung,
entah sekian lama, ia sudah lali dengan ganasnya ombak,
akhirnya ia dipilih untuk terdampar di sebuah daratan,
ia diam disana sekian lama,

satu hari,
kelibat sebiji kelapa yang serupa mendatanginya,
ia pasti kelapa itu juga meredah susah payah sepertinya,
ia tersenyum kerana punya teman yang tidak disangka-sangka,

membesarlah mereka dengan senyum gembira,
berdua. Tidak pernah terjangka boleh bersama. Sangkanya lemas di lautan. Atau hangus dipanah petir.

Rupa-rupanya ini takdirnya.

Entah dua kelapa itu kamu atau aku,
Atau kamu dan aku,
Atau bukan kamu dan bukan aku,
Takdirlah penentunya,
Siapa tahu? Tuhan tahu.

Janganlah dipedulikan dapat berdua atau tidak, kerana akhir kisahnya sudah pasti.
Kerna ia takdir.
Cuma takdir itu ghaib, imanlah penyabarnya.