Sunday 17 July 2016

Apa perlunya menjadi murabbi?

Banyak peristiwa yang menarik saya menggagahkan diri untuk menulis kembali. Banyak isu untuk diulas, tidak dengan fakta, dengan emosi pun jadi!

Tapi entah mengapa, hadis yang dimuatkan dalam Hadis 40 ini mencubit kembali tangan ini agar duduk diam:

"من كان يؤمن بالله واليوم الاخر فليقل خيراً أو ليصمت"

'Barangsiapa beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, 
maka berkatalah yang baik, 
ataupun DIAM' 

(Muttafaqun 'Alaih)

Diam itu lebih baik, lagi-lagi dalam dunia penuh kerosakan ini. Tapi jika tahu tentang sesuatu perkara yang jikalau kita diam, kerosakan semakin berleluasa, maka DIAM kita juga merupakan suatu dosa.
***
Baiklah. Nampaknya, adalah sebab untuk saya menulis kembali kan?

Murabbi.

Izinkan saya menggunakan perkataan Arab ini disepanjang penulisan saya bagi merujuk kepada ketua usrah, naqib, rakan yang membimbing dan guru yang mendidik.

Saya yakin, ramai antara kita sentiasa mencari-cari makna hidup, bukan? Mencari untuk apa aku hidup? 
Bertitik tolak daripada situ, ramai yang telah melakukan sesuatu untuk memenuhi keperluan 'makna hidup' itu, namun tak kurang juga yang duduk diam, 'just follow the flow'. Buat yang mencari makna hidup, saya teringin berkongsi sedikit makna yang saya dapat daripada hidup menjadi murabbi.

Ya, saya bukanlah orang yang baik untuk menulis hal-hal mengubah menjadi baik. Ironi bukan? Orang yang tidak baik, tapi ingin mengajak orang berbuat baik? Haha. Entahlah, tapi orang yang baik pun tak ramai yang mahu mengubah manusia menjadi baik, biarlah kami yang tak baik ni yang buat. Moga-moga apabila Allah bertanya nanti, kami dapat menjawab,"kami mengajak manusia berbuat kebaikan walaupun  banyak kelemahan kami..".

Oh ya! Makna hidup. 

Rata-ratanya orang akan serius memikirkan makna hidup apabila ia menginjak kaki di universiti atau sama umur dengannya. Kita mula serius berfikir, apa aku mahu dalam hidup ini?

Banyak yang saya mahu. Nak banyak duit, boleh main saham, bertambah lagi duit, boleh dapat financial freedom! 
Dan juga mahu menjadi seorang saintis yang banyak mengkaji hal-hal sains terutamanya berkaitan perubatan herba. 
Ada lagi, nak keluarga yang baik, sebaik ummi dan ayah mendidik kami adik-beradik. Banyak lagi sebenarnya! 

Sehingga ia membawa saya kepada satu idea, lepas mati nanti aku mahu jadi apa? Sejujurnya apabila mengenangkan amalan yang sedikit dan dosa yang berlambak, tak tahulah apa nasib nanti.

Jadi, disebalik menderma, solat sunat, menyumbang kepada masyarakat, belajar Farmasi dan lain-lain, saya fikir amal yang paling boleh berterusan boleh menyelamatkan saya ialah menjadi murabbi, secara langsung dan secara tak langsung.

Sungguh indah apabila kita memahami hadis ini,

Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun.
Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang buruk lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun 

(Riwayat Muslim)

Sungguh, saya tak ingin membawa retorik tarbiyah yang tipikal, menjadikan kita malaikat, tapi saya mahu menjadikan kita, seorang manusia, menyumbang dalam kapasiti masing-masing. Menghidupkan amal-amal yang baik, agar orang lain ikut, dan pahalanya berterusan untuk kita.

Marilah kita renungkan kehidupan para sahabat, untuk direalisasikan dalam hidup kita. Hassan bin Thabit contohnya, adakah kita ingat dalam Perang Ahzab, beliau adalah seorang sahabat muda tapi diuzurkan oleh Nabi daripada pergi berperang, beliau ditempatkan di kubu belakang bersama wanita , orang tua dan kanak-kanak. Kita pun tahu Perang Ahzab merupakan puncak penentu jahiliyah menentang Islam ketika itu. Orang Islam mengalami kekurangan tenaga manusia, tapi Nabi Muhammad tegar menguzurkan Hasan! 

Adakah Hasan Bin Thabit lemah? Ya! Dari sudut fizikalnya.

Tapi, cuba kita ingat kembali, siapa yang melawan kembali panahan syair-syair Arab Jahiliyah ketika mereka menghina hati Nabi Muhammad? Yang bangkit ketika itu ialah Hasan Bin Thabit, dengan segala kelemahannya, tapi beliau tahu, syair merupakan kekuatannya. Beliau banyak menjadi lidah Nabi Muhammad dalam melawan lidah-lidah orang kafir. 

Isu tarik menarik adik-adik baru masuk di kampus?

Saya sedar sekian lama isu ini berlaku, dan ianya subjektif, tidak salah dan tidak juga benar. Bergantung kepada pelakunya.

Ramai abang-abang dengan segala kesedarannya ingin mengajak adik-adik mengenal Allah, mengajarkan Al-Qur'an dan bercerita kisah-kisah para sahabat. Namun, ada juga segelintir yang menarik dengan tujuan memperbesarkan kedudukan mereka di kampus, membanding-bandingkan jemaah mana yang benar, menghina tokoh ini dan itu. Kita sudah besar, dan kita tahu menilai mana yang betul dan mana yang salah. Berlaku adillah dalam menilai. 

Suka juga saya mengingatkan, bahawa kerja-kerja dakwah ini adalah wajib dilakukan, selagi rahmah tidak tersebar di seluruh alam, selagi itulah setiap daripada kita ini memikul beban dakwah itu, baik kepada orang Islam sendiri, atau kepada orang belum Islam. Jadi, dalam kita mengkritik orang-orang yang sedang berdakwah ini, tanyakan kembali kepada diri kita, adakah kita juga berdakwah? 

Di UIA sendiri, kita punya Study Circle, sangat sedikit orang yang menyahut untuk menjadi naqib dengan pelbagai sebab dan alasan. Kita tahu, setiap daripada kita punya kekangan. Tapi kita juga perlu tahu, ramai manusia yang menunggu-nunggu hidayah sampai kepada mereka. 

Kita mana tahu ada orang yang menangis tergagap-gagap mengaji al-Qur'an? Nak bertanya, malu. Tapi tiada orang yang sudi menawaran diri untuk mengajar, hatta hukum-hukum asas membaca Al-Qur'an.

Kita tak tahu sebenarnya ada orang yang tak yakin pun dengan kewujudan Allah. Meragui Allah dalam diam. Cuba mencari jawapan tapi dicemuh, dan akibatnya lari terus daripada agama. 

Ingatlah kembali kisah Abu Dzar Al Ghifari yang baru sahaja masuk Islam, terus mengajak musyrikin Mekah tika itu masuk Islam. Ah kita pun tahu, tentulah dia dipukul beramai-ramai, sehinggalah mereka diberi amaran. 

"Adakah kamu tahu siapa yang kamu pukul ini? Ini adalah salah seorang kaum Ghifar. Jika mereka tahu kamu membunuh orang mereka, mereka akan menghalang perjalanan kamu ke Syam". Tika itu, apabila orang Mekah ingin pergi ke Syam, mereka perlu melalui kawasan Kaum Ghifar. 

Cuba kita fikirkan, ilmu apa yang beliau ada baru beberapa ketika memeluk Islam sudah berani menyeru orang untuk memeluk Islam?



Akhirnya, apa makna hidup yang saya temui?

Tidak lain dan tidak bukanlah, memenuhkan poket amalan untuk akhirat nanti. Entah dari sudut mana amal kita yang berguna nanti, kita tak tahu.

"Janganlah meremehkan sesuatu kebaikan pun, walaupun memaniskan wajah apabila bercakap dengan saudaramu".

(HR. Abu Daud no. 4084 dan Tirmidzi no. 2722)

Dan, amalan yang saya rasa paling sesuai ialah menjadi murabbi. Banyak orang yang dapat kita fahamkan tentang Islam, dan dia akan fahamkan orang lain pula nanti. Moga-moga rantai itu tak akan putus samapai kiamat.

Ramai orang yang dapat kita selamatkan daripada maksiat, dan percayalah suatu hari nanti, dia akan bersyukur kepada Allah kerana berpeluang bertemu dengan kita. Dan di akhirat nanti, kita pula akan rasa beruntung kerana pernah ada dia menjadi salah satu sejarah dalam hidup kita.