Thursday 6 June 2013

Terlanggar bahu jua akhirnya

"Ustaz..ustaz! Kami nak main Zus Tang? Best lah main zus tang..", Awis meminta dengan bersungguh-sungguh. Budak ni memang pandai berlakon. Padahal baru darjah 5.

"Nanti kita main ya..kita habiskan yang ni dulu", aku memberi janji.

Latihan Dalam Kumpulan(LDK) diteruskan lagi. Aku diberi tajuk tentang SOLAT. Aku membelek-belk modul yang diberikan. Hmm, keistimewaan solat, azab meninggalkan solat. Apa lagi? Oh, cara-cara solat yang betul. Skema. Terdetik didalam hati aku begitu.

"Heh..heh. Apa kacau orang tu??".

"Z ni ustaz! Dia kacau saya dulu!". Kapten Z, sengaja aku beri nama begitu kerana dia beria-ia nak jadi ketua kumpulan.

Baru beberapa saat aku diam pasti hingar bingar suasana kumpulan aku. Aku menoleh ke arah kumpulan lain. Budak-budak kumpulan Aiman lagilah, terus berlari-lari keliling masjid. Aku tergelak kecil.

"Ustaz..ustaz! Tengok ni..".

"Hesh, jangan panggil abang 'ustaz' lah". Pada mulanya aku memang berasa janggal apabila dipanggil 'ustaz', kerana janggut aku kah?

"Habis tu nak panggil apa?"

"Haha. Panggil abang 'taukey'!"

"Apa? Tauge??". Serentak mereka ketawa. Sumpah aku tak dapat tahan gelak. Haha.



...................................................................................................

Mula-mula aku dipaksa rela untuk menjadi fasi Program Anak Soleh. Skema kan namanya?haha. Hampir seminggu juga aku merungut-rungut, tak ada orang lainkah? Kena layan budak-budak lagi..sekolah rendah pula tu. What??

Aku pun menunjukkan ketidakaktifan aku sebagai fasi. Memberontak kononnya. Nasib baiklah ada 2 orang kawan yang umurnya muda setahun dari aku memang berpengalaman mengajar sekolah rendah. Mereka yang banyak aku contohi untuk handle budak-budak ni. Selama aku jadi fasi pun tak pernah lagi dapat peserta umur 11 tahun. 

.........................................................................................

"Eh korang tau tak kenapa kita kena solat?". Perkataan 'korang' tu aku cuba sedaya upaya untuk menggantikan kepada 'kamu semua'. Banyak kali juga tersasul.

"Hmm, sebab dah wajiblah!". Haris menjawab dengan penuh semangat sambil mengangkat tangan kepadaku, macam Karam Singwalia. =.=' (Camne eja nama dia?)

"Ok. Jawapan lain?"

"Betul ke jawapan tadi, ustaz??"

"Nanti abang bagitau. Jawapan lain?".

"Sebab dia ada dalam Rukun Islam!". Kali ni Daniel menjawab. Daniel ni paling matang aku kira diantara mereka.

"Kenapa pun kalau dia ada dalam Rukun Islam?", aku bertanya kembali.

"Laa, Rukun Islam tu kan wajib! Kalau dah ada dalam Rukun Islam, jadi wajiblah!".

"Hehe. Bagus..bagus. Pandai. Tapi abang nak jawapan selain 'wajib'". Aku cuba memberi mereka kefahaman, bukan sekadar mereka HAFAL hukum.

"Hmm, alaa..wajiblah. Nak apa lagi?". Masing-masing buat muka tak puas hati kerana tak boleh jawab.

"Haha. Abang bagi contoh ye, Hanip cipta robot..".

Tiba-tiba, Haris menyampuk. "Eleh, mustahillah Hanip boleh buat robot!". Semua di situ tergelak.

"Eh, abang kata contoh, kan?"

Dia tersengih-sengih.

"Ok. Hanip cipta robot. Dia cipta robot tu untuk robot tu suapkan makanan kat Hanip".

"Eee, pemalasnya Hanip!!". Semua di situ menunjuk ke arah Hanif. Hanif tersenyum-senyum sahaja. Dia puak yang pendiam dalam kumpulan.

"Tapi, masalahnya.. Robot tu taknak suapkan Hanip makanan! Dia bagi Hanip minum pula! Mestilah Hanip marah kan? Penat-penat buat, robot tu tak nak ikut arahan". Aku berhenti seketika. Kemudian menyambung,"ha, macam itulah Allah. Dia yang mencipta kita, maka kita WAJIB mendengar suruhan Dia. Allah suruh kita solat, kita wajiblah buat. Kalau taknak, mesti Allah marah!".

Haris mencelah lagi,"kenapa Allah cipta kita pula??"

Aku terdiam seketika. Aku dah agak mesti kena banyak-banyak kalau buka perbincangan. Aku cuba memikirkan jawapan yang terbaik. 

"Ha, yang itu Allah dah bagitau dalam Al-Qur'an, kamu pernah buka surah Al-Dzariyat?". 

Masing-masing menggeleng.

"Ok. Balik nanti buka surah Al-Dzariyat, ayat 56, ya??". Aku membaca ayat itu secara hafazan.

"Huiyyoo!! Ustaz belajar kat Mesir ye?"

Aduhai korang ni.. 

"Ha, ayat yang abang baca tadi ertinya ialah, 'dan tidaklah Aku menciptakan Jin dan MANUSIA melainkan untuk BERIBADAH kepadaku'. Jadi, Allah ciptakan kita semua ni untuk beribadah kepada Dia, untuk belajar rajin-rajin, untuk hormat mak ayah, faham?"

"Oooo..."

Comel sungguh mereka!

.....................................................................................................

Adakalanya mereka terlalu bising. Sampai tika aku terasa mahu mengherdik mereka. Tiba-tiba aku dibawa kepada diriku yang dahulu...

"Fathiy! Balik nanti, cuba kamu tanya mak kamu, 'dulu masa mak mengandungkan saya, mak suka makan burung murai ke?' ". Ustazah Noorwati hilang sabar agaknya melihat aku yang paling kecoh dalam kelas. Mulut tak reti diam.

Aku tersengih-sengih sahaja.

Aku tak jadi marah apabila terkenangkan ayat ustazah dulu. Lama aku renung mereka bergurau, kadang-kadang aku tergelak sama, gelak mereka tak pernah pura-pura. Lain benar apabila diri menginjak dewasa ini, seringkali  gelak tak ikhlas semata-mata nak jaga hati orang. Senyum pun begitu. Fake smile!

Kadang-kadang Awis bertanya aku soalan, pada mulanya aku menganggap dia paling pandai berlakon, konon nak tanya soalan, tapi sebenarnya nak buat lawak. Namun, aku berasa ragu dengan pandangan aku sendiri. Aku lihat ditengah matanya. Jujur. Memang dia nak tahu. Aku tak tahulah macam mana aku buat, tapi aku dapat rasa. 

..................................................................................

Aku lihat gelang ditangan Arif. Aku ingin menegur bahawa lelaki tak boleh pakai gelang. Namun, tika itu juga aku ter flashback ke masa silam. 

Aku berjalan kesekolah dengan bergaya. Bangga. Aku memandang-mandang gelang Nike warna putih di pergelangan tangan. Aku membelinya dengan harga yang agak mahal. RM20 seingat aku. Betapa aku sayang gelang aku. Ori kot! Selalu aku duduk bersama kawan-kawan aku yang memakai gelang juga, saling berbangga dengan gelang masing-masing.

Sampailah ayah aku menyuruh aku buang gelang tu. Namun, aku sayang. Aku simpan dia dalam almari. Glow in the dark kot! 

Aku terfikir, kalau aku tegur gelang dia, mesti dia rasa aku terlalu mengongkong sebab aku pernah berkeadaan begitu dahulu. Jadi, aku sekadar sembang-sembang mengenai gelang itu. Malangnya, kawan-kawan dia yang lain suka benar mengerumuni aku kalau aku tengah cakap dengan salah seorang daripada mereka. Teringin benar mereka nak tahu! 

.....................................................................................

Daniel menarik muka masam. "Ustaz, diorang main tipu..mana aci!". Kami baru bermain permainan letupkan belon. Sudah tentulah peserta yang berusia lebih tua menang. Haha.

Aku tersenyum mendengar rungutan dia. "Tak apalah Daniel. Kan Allah suka orang jujur? Menang pun bukan dapat apa..".

Aku sebenarnya amat terkejut dengan jawapan spontan daripada mulut aku ketika itu. Aku terfikir, bagaimana aku boleh menjawab dengan begitu 'skema'? Err, tapi aku sangat bahagia ketika jawab kepada Daniel. Terasa itulah jawapan jujur daripada hati aku. Aku terfikir-fikir sebabnya sampai balik rumah, 

Aku rasa dah banyak kali aku memberi jawapan yang menurut kehendak si penanya, semata-mata untuk menyedapkan hati mereka. Selalu sangat! Jawapan yang jujur selalunya aku berikan kepada orang-orang yang amat rapat kepadaku, dek kerana itu, aku selalu menyakitkan hati orang-orang yang rapat dengan aku kerana jawapan aku selalu menyakitkan hati. Aku tak berfikir, dan terus jujur. Aku kira kalau mereka mengambilnya dengan berlapang dada, tanpa perdebatan, pasti baik hasilnya.

Oh, aku menemui diri aku dalam diri anak kecil!

.......................................................................................


"Abang..jom bertumbuk dengan saya??".

Tersentak aku memandang budak itu. Aku pandang bawah. Paras dada aku. Bukan daripada kumpulan aku. Tiba-tiba aku tersenyum. Aku teringat..

"Weh, kalau berani sinilah!". Aku mengacukan penumbuk. Seluar aku hampir setiap hari koyak. Baju kotor. 

"Alaa, kau ingat kau tu kuat sangat??". Budak yang aku ajak bertumbuk tu melaung.

Bukan sekali dua aku bergaduh. Bukan sebab benci atau marah, tapi kepuasan.

Aku tergelak lagi. Aku pegang lengan dia lalu bertanya, "kamu selalu bergaduh?"

Dia mengangguk.

Aku mencengkam lagi kuat. "Selalu gaduh dekat mana?".

"Kat tepi jalan!". Dia meronta meminta dilepaskan. Akhirnya dia berlari kepada kawan-kawannya. Aku suka sangat ketika itu. Dia mengingatkan aku, siapa diri aku dahulu.

Tengah hari itu, aku mengajaknya makan sama-sama. Aku menunduk, berbisik kepadanya,"jom makan dengan abang?"

"Ok". Nasib baik dia tak banyak songeh.

Banyak kami bualkan ketika makan tengah hari itu. Menarik budak macam ni. Pengaruh besar, logam yang baik!

Apabila dia berjalan sahaja, pasti ada kawan-kawannya dibelakang. Lagak seorang ketua. I like! Haha. Macam pengislaman Abu Dzar Al-Ghifari, pemimpin hebat, kaumnya menggerunkan Quraish kerana bekalan gandum. Dek kerana dia masuk Islam, Bani Ghifar memeluk Islam!

.................................................................................

Aku paling suka apabila melihat Firdaus tersnyum. Berkulit hitam manis orangnya. Senyumannya sentiasa menyejukkan hati. Ditambah lagi dengan gelagat kawan-kawan dia yang lain, mengusik, bergurau. Semuanya menyentuh hati aku. Penat, sungguh! Tapi gembira. 

Jaga budak-budak ni mengingatkan aku kepada mak aku. Mengajar sekolah rendah, bukan beberapa hari macam aku, tapi bertahun-tahun. Penatnya mak aku! Hari itu giliran aku lipat kain, tapi agaknya mak aku tau aku penat melayan kerenah budak-budak, dia sambil berbual dengan aku, sambil lipatkan kain. Aduhh..

Jika tak kena, mana tahu rasa.

Allah, betapa aku sayang mereka semua, moga-moga Kau jaga hati mereka dari diresapi fikrah-fikrah jahat. Risaunya aku, bagaimanalah mereka mengharungi sekolah menengah nanti..

"Ala..lepas ni tak dapat jumpa ustaz lagi!". Mereka bersuara apabila majlis penutup tamat.

Aku terharu, sambil tersenyum aku membalas,"kamu semua pergilah masjid hari-hari, kita boleh jumpa".

"Alaa..kami nak pergi hari Jumaat je la".

Aku tergelak. 

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Riwayat Muslim)

They have passion in ISLAM, dont ignore it!
Nurture it!

Tuesday 21 May 2013

Guru-guru

"Ah aku malaslah". Aku buat muka seposen.

"Ala, jom je lah!" Akmal tetap mengajak. "Lagipun bukan senang kita nak belajar Al-Qur'an ni, kat luar susah dapat, tahu?"

Sungguh-sungguh nampak budak sorang ni. Takkanlah Akmal pergi tapi aku tak pergi kan?

"OK. Aku on!"



Maka, bermulalah aku belajar di Kelas Kemahiran Qur'an hasil paksaan pujukan Akmal. Aku tak tahu kau ingat tak Akmal bahawa kau yang menyebabkan aku terjebak dalam kancah ni.haha. Kelas Kemahiran Qur'an (KKQ) ni kelas pilihan, tak pernah diwajibkan untuk pelajar menyertai, sebab itu ada satu batch dulu, seorang sahaja yang belajar KKQ. Aku teringat wajah Ustaz Rizalman yang sayu menceritakan hal itu kepada aku.

Aku belajar qiraat, tajwid, hafazan dan tarannum. Uhh, aku fail tarannum. Sudah semestinya. Kalau tak, takkan roomate aku kutuk suara aku. *sigh* Aku berasa seronok mendengar pesanan-pesanan arwah Ustaz Hafidz. Terasa terisi. Banyak semangat aku ditempa daripada beliau, dalam keadaan sakit buah pinggang. Beliau sentiasa menggagahkan diri mengajar kami. Kadang-kadang suara nak bertarannum tu tak terkeluar langsung, tapi dipaksakan juga. 

Aku sebak apabila habis beliau memaksakan suara untuk bertarannum, beliau akan terbatuk-batuk lama. Kami sekelas akan terdiam selalunya. Kami tak tahu nak bagi reaksi apa. Sedih dan kasihan. Nak membantu, tapi nak tolong apa?

"Ustaz, tolong doakan saya dapat sebut huruf 'RO' dengan sempurna ya?". Aku bertemunya selepas solat.

Ustaz Hafidz tersenyum. "Bukankah lebih baik kalau kamu berdoa supaya dijadikan kelemahan kamu tu terasa indah pada pendengaran orang ramai. Mana tahu dengan kelemahan itu dimasukkan hidayah ke dalam hati yang mendengar kamu baca Al-Qur'an".

Aku terkedu. Aku sekadar mengangguk. Tak mengiyakan atau menidakkan.

Kini, Ustaz Hafidz sudah pergi. Banyak ilmu yang aku garap daripadanya. Allahurabbi..semangat dakwahnya selalu menenangkan kami yang muda-muda ni. 

................................................................................................



"Fathiy, kenapa tak faham-faham lagi??". Tanganku diketuk dengan marker. Aduh. Aku tak faham apa yang teacher terangkan walaupun dia dah ulang beberapa kali...

Aloo Teacher Azlina ni, aku memang lampi math ni. Nak buat apa lagi?

Aku berbisik pada Mus disebelah. "Mus, aku tak faham ni! Camne nak wat soklan ni?"

"Camni..". Sejak hari tu, tingkatan 2, baru aku tahu aku lemah Math. Aku perlukan kawan yang dapat bimbing aku, ajar aku untuk subjek ni. Nasib baik Mus duduk sebelah aku masa form 2. Dia gak yang banyak ajar aku. Genius.

................................................................................................

Petang tu sunyi. Hanya kami berdua. 

"Sebenarnya diorang nak aku buat apa lagi??". Suara Sofiyuddin memecahkan keheningan.

Aku diam. Aku tak matang. Aku tak tahu nak bagi pendapat apa, Din.

"Aku dah lepak dengan rokok diorang, aku dah pergi solat ngam-ngam nak habis azan sebab nak ajak diorang solat, aku dah banyak bertolak ansur. Tapi apa hasilnya??"

Aku terkedu. Susah jadi Din ni. Banyak cabaran.

"Aku dah tak tahulah apa nak buat lagi. Berlembut dah, bertegas pun dah".

Aku teringat semasa ada seorang junior nak kena pukul. M angkat tangan nak bagi penumbuk. Tiba-tiba, tangannya digenggam kejap. M Mnoleh belakang. Din memegang tangannya. "Dah..dah..cukuplah tu. Anak orang".

"Kau tepi Din! Budak ni patut diajar!!" Dia menyentap tangannya daripada digenggam Din. Dalam keadaan geng yang ramai tu, Din sanggup pergi halang. Berani. Apa lagi aku boleh kata?

..............................................................................



Guru.

Guru. Jika nak dikenang jasa mereka pada aku, entah air mata darah pun aku tak mampu bayar. Membentuk aku sampai jadi macam ni. Walau aku tak setuju atau setuju, ia tetap berlaku. Aku bagi secebis contoh daripada lipatan memori aku untuk tatapan semua. Orang-orang inilah antara yang banyak mengubah hidup aku sampai sekarang. 

Guru. Bukan setakat mengajar dalam kelas. Tapi kawan yang membentuk diri aku, bagi ilmu yang bermanfaat kepada aku, aku anggap semua tu GURU!

Aku teringat kegigihan Mus membuat dakwah walau dicerca. Aku terpandang diri aku, aku macam dakwah, tapi kenapa orang suka aku? Bukankah sunnah dakwah tu dicerca, dimaki?

Aku teringat ketabahan Din. Betapa dia berubah daripada hidupnya yang gelap menjadi orang yang bersimpati nak ajak semua orang masuk syurga. Dia ajar aku 'dakwah itu kasih sayang'. Lama dahulu sebelum aku mendengar kata-kata tu daripada 'Abbas As Sisi.

Aku teringat kecekalan arwah Ustaz Hafidz. Dalam keadaan baru hemodialysis buah pinggang. Letih. Beliau datang bertemu kami di kelas. Mengajar bait-bait Al-Qur'an. Satu persatu. Kami selalu teruja menunggu patah kata beliau. Semua yang hadir bukan dipaksa. Melainkan aku kot..err  =.=' Terima kasih, Akmal! Sebab tu aku sedih giler bile ko pindah form 4 dulu. uhuk2!

Ramai. Sangat ramai GURU yang berjasa dalam hidup aku. Kalau nak dikarang, mahu tak cukup tinta. 

Namun, apa yang paling mengingatkan aku kepada setiap daripada mereka ialah QUDWAH! Bukan kata-kata. Banyak kata-kata berguna dan banyak aku dah lupa. Tapi qudwah mereka aku gam dalam kepala. Sentiasa terbayang-bayang. Begitulah orang yang mengajar sesuatu yang baik pasti hasilnya berjalan walau dia sedang disoal Munkar Nankir pun.

Selamat Hari Guru!!

ps: Maaf. 16 Mei yang disebut sebagai Hari Guru tu, aku exam. Maka, tak dapat menulis.

Thursday 2 May 2013

60 tahun untuk selama-lamanya!!

"Ustaz aku kata, average manusia hidup kat dunia lebih kurang 60 tahun..". Sahabat itu menunduk.

"Oh..ok..then?". Aku masih tertanya-tanya maksud yang nak disampaikan.

"Hmm, ustaz aku kata lagi, apa lah salahnya untuk kita korbankan hidup yang 60 tahun tu demi hidup yang SELAMA-LAMANYA??". Dia memandang aku. Tepat.

Aku tersentak. Aku diam. Terkesima

***



Aku tak tahu mengapa..tapi kata-kata sahabat itu masih terngiang-ngiang dalam kepala otak aku ni hampir setiap hari. 

Setiap kali aku rasa putus asa...masalah adik-adik usrah, masalah akademik, masalah akhlak aku

Setiap kali aku buang masa...main DOTA, tidur..

Setiap hari pasti ADA!

Aduh..tajam sungguh kata-kata tu. Kalau ditulis dengan tinta emas pun pasti belum cukup menggambarkan NILAI kata-kata tu.

Selak-selak Al-Qur'an. Timbul ayat ni 


"Tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dengan segala yang ada diantara keduanya dengan main-main!(QS. Al-Anbiya :16)





Terkesan tapi beramal?



Setelah terkesan dengan kata-kata tu. Aku perasan...oh tak adalah perubahan besar sangat kat diri aku melainkan semangat aku naik. Tapi, bab AMAL?  Hampir sama macam dulu.



Mengapa?



Kenapa?



Eshh,, asal??



Kerana kemungkinan hidayah tu Allah dah TARIK BALIK. Eh hidayah boleh ditarik balik ke?



Hmm, cuba renung ayat ni..



"Wahai Tuhan kami! Janganlah Kau mencondongkan hati kami (ke arah kesesatan) setelah Kau beri petunjuk ke atas kami dan kurniakanlah rahmat dari sisi-Mu, sesungguhnya Kau Maha Pemberi" (Ali-'Imran: 8)



Jika hidayah tu tak boleh ditarik balik, mana mungkin wujud doa ni??

Maka, jagalah hidayah apabila ia menyentuh hati. Sangat pedih kalau ia pergi. Duduk dalam kegelapan sorang-sorang. Tanpa tangan Yang Maha Kuasa.

Sebab dalam banyak keadaan, Syaitan selalu menang ke atas kita. Kita GAGAL! 

Lalu, Allah sayang kepada kita, Dia pun tuang air HIDAYAH ke dalam hati kita. Segar bugar! Namun, kita biarkan kesegaran itu berlalu tanpa kita berusaha cari lagi air tu untuk kita tambah kesegarannya.. lalu, KESEGARAN AIR HIDAYAH itu berlalu pergi.. kembalilah kita bermalas-malasan didodoi syaitan. Aduh!






***





60 tahun UNTUK tahun yang selama-lamanya.

Adakah apabila kita melalui tahun yang selama-lamanya tu, kita akan berasa menyesal air mata darah kerana tak bersusah payah semasa 60 tahun dulu?

Atau..


Kita berasa riang gembira, senyum ketawa kerana kita dah puas beramal semasa hidup di dunia dahulu?

Aku teringat kata-kata Syed Qutb semasa dia ingin dihukum gantung dahulu.

Pegawai penjara berkata kepadanya, "wahai syed, ucapkanlah 2 kalimah syahadah sebelum kamu digantung"

Syed Qutb dengan senyumannya berkata," aku bukan sahaja telah mengucapkannya, bahkan telah mempertaruhkan seluruh hidupku dengan kalimah itu!"

Susah bukan? Pertaruhkan seluruh hidup untuk sebuah kehidupan yang tak nampak?

Itulah gunanya IMAN. Kita yakin dengan kehidupan yang 'tak nampak' tu.

Beramallah sekadar mampu. Mula perlahan-lahan. Sikit-sikit.

Kalau rasa boleh push jauh..push lah jauh-jauh! Syurga menunggu, bro!!

Selalu solat lewat, push urself to pray earlier!
Tak rajin solat jemaah, rajin-rajinkan!
Malas baca Qur'an, cuba satu ayat satu hari. Esok tambah lagi.
Rasa kurang ilmu? Cuba gadaikan 10 min daripada sehari untuk dengar kuliah, takpun baca buku agama. Minggu depan tambah lagi, 20 min sehari.

Naik sikit-sikit.. semoga dengan mujahadah tu dilihat oleh Allah dengan kegembiraan. Kalau kita mati sebelum sampai tahap Nabi Muhammad dan para sahabat, moga-moga Allah nilai usaha kita yang bersungguh-sungguh tu.

Jangan manja!

Buang malas!

"Jom adik, kita HIJRAH!!"




"Belumlah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka) dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya yang telah diberi Al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka, lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan diantara mereka menjadi Fasik." (QS. Al-Hadiid :16)




Jazakallah khairan kastira kepada Afifi yang menghadiahkan kata-kata, "hidup 60 tahun untuk kehidupan infiniti" tu kepada aku. Setiap hari terngiang-ngiang kata-kata tu. 

Sunday 31 March 2013

Sejenak MGW!



“Peh, aku dah lah baru sebulan strawberry dalam society..tiba-tiba, kena lantik jadi AJK. Tempah venue pun aku tak tahu..”. Aku bersuara sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Takpe2..anta boleh buat punya..hehe”.

‘Apa sehh dia ni?’

MGW. Atau nama panjangnya ialah Muslim Geographic Week merupakan sebuah program hasil kesepaduan buah fikiran antara pelbagai society UIA.
Fokusnya pada isu-isu ummah.

PALESTIN apa ceritanya?

SYRIA berdarah lagikah?

Sahabat ROHINGYA sudah sampai di penghujungnyakah?

Morsi..apa khabar MESIR sekarang?

Eh, atuk Erdogan, apa TURKEY buat sekarang?

Itulah sedikit sebanyak apa sebab MGW ini dilaksanakan.
***
Disebalik kelancaran program, hasil feedback kami daripada rakyat CFS IIUM (diorang kate program ni hebat..taktau2..la la la), sebenarnya kaki kami terlalu banyak tercucuk duri ketika berjalan menuju MGW ni. Ada yang sampai bernanah, nasib baik tak merebak. Orang tak tahu sebab kami pakai kasut, tutup dengan stoking lagi..heh.
Ahad habis exam.

“Weh, DOTA jom malam ni?haha”.

‘DOTA kau..aku ada event lah esok!’. Aku berkata dalam hati.
.
.
.
.
Err,, esok ISNIN MGW wehh. Apa yang kita nak buat nihh??

Sejujurnya, hari pertama kami menguruskan booth sangatlah tunggang terbalik. Hanya Aqsa Syarif (Palestin) yang pada mulanya datang. Kami pun blur-blur lah. Apa nak buat ya?
Mana lagi NGO lain-lain ni?

Tengah hari sikit Global Peace (Rohingya) memunculkan diri. Alhamdulillah. Dikhabarkan NGO yang mewakili Syria ada masalah sikit. Tapi, tak apalah.

Apa yang mengujakan ialah kesungguhan mereka melakukan flashmob. Eh. Menatang apakah flashmob tu? Google lah, kawan.

Setinggi-tinggi penghargaan drpd aku (kuli MGW), kpd Big Boss MGW atas kesudian turun menjayakan flashmob!!

Adik-adik pasukan T..sob2


Tenaga pasukan T!!

Namun, pada hari-hari awal, booth Mesir, Turkey, Rohingya dan Syria kami terlalu sunyi. Maka, aku pun terfikir untuk menggerakkan adik-adik T memeriahkan booth-booth tersebut. Malam tu aku jumpa mereka,

“Adik-adik, korang kan dah lama berkecimpung dalam T nih?? Nak tak  abang offer korang aplikasi yang korang tadah selama ni?”. Aku menyusun ayat.

“Boleh, bang. Apa dia?”. Teruja mereka menjawab.

“Abang nak offer korang pahala, nak tak kalau korang cerita tentang Rohingya? Ni isi tentang keadaan Rohingya yang abang dah simpul belitkan”.

“Ohh, boleh-boleh!!”. Mereka mengangguk dengan penuh teruja.

Hehe. Bagus-bagus.

Maka, esoknya bermulalah misi mereka menahan rakyat CFS IIUM yang melalui booth. “Bro…bro..boleh kami minta 2 minit untuk kami terangkan tentang Rohingya?”

“Ohh, boleh..ceritalah”. Pendengar tersenyum lebar sambil melihat keadaan booth kami.



Speaking corner


Namun, bukan semua indah.
“Err,, tak apalah bro. Kami nak cepat ni. Err..nak jumpa kawan”. Gelak-gelak lalu bubye!

Biasalah kena tolak.

Tapi, apa yang membanggakan aku. Adik-adik pasukan T aku ni, dulu punyalah BISU untuk bercakap, tapi sekarang…

“Eh, korang jaga booth ni satu jam je tau!”.

“Takpe bang, kami jaga 2 jam. No hal punye!”

Sob..sob..saya terharu anda tahu?
Aku melihat kamu semakin maju dan mahu menyebarkan fikrah Islam ini ke seantero dunia. Syabas.
***
Talk = cakap-cakap

Ini antara event yang aku suka dalam MGW. Terutama sekali talk daripada Dr Hafidzi. Sangat menyentuh hati.

Aku bukan nak komen pasal perjalanan talk. Aku terfikir, berapa ramai yang terkesan akan talk yang diadakan lalu bergerak untuk mengubah hidupnya menjadi lebih baik. Menyumbang untuk ISLAM. 

Atau, talk-talk yang diadakan sama seperti event2 lain, duduk, dengar, balik...

Err,, risau sehh! =.='

Budget program.

“Ana nak tanye, budget MGW nih brape ringgit sebenarnya?”.

“Hmm, adalah lebih kurang RM7000”. Aku berkira-kira.

“Woaahh, bagusnya korang. Buat program besar dengan budget yang kecik!”

“Err, yang penting ahdaf (matlamat) sebenarnya, kalau tak ada kena mengena dengan ahdaf, tak payahlah buat program”.

“Aah kan.. betul juga tu..”.

Ahdaf. Matlamat.
Ramai orang buat program besar-besar.
Promosi gempak-gempak.
Nama penceramah popular-popular.
Budget mahal-mahal.
Rupa-rupanya lari daripada ahdaf. Matlamat itu boleh dicapai dengan budget yang kecil, tapi entah mengapa, nak juga guna duit banyak-banyak. Membazir tahu?

Kalau kesedaran tentang isu-isu ummah matlamatnya. Maka, cubalah keluar daripada skop pemikiran…”yeah, kita kena buat ceramah”,
”forum kali ni panggil imam Muda lah”,
”video program kenalah gempak!”.
Cuba kita manfaatkan otak muda kita dengan mencipta approach baru kepada masyarakat agar isu ini tidak dipandang ISU LAPOK.

Dan, cuba keluar daripada pemikiran bahawa, isu-isu ISLAM ini hanya boleh dibawa atau didokong oleh orang-orang berkopiah tudung labuh bagai sahaja. Tengok rambut pacak sket, “err tak apalah bang..kami tak jadi nak explain”.

Maka, apa-apa sahaja cara yang murah dan berkesan boleh digunakan untuk mencapai matlamat, gunakanlah ia. Kerana kita tak nak membazirkan tenaga dan wang.
Berkorban biar seoptimum mungkin.

Perasaan
Sejujurnya, aku pada mulanya memanglah tak berasa gembira apabila dilantik menjadi pekerja untuk MGW ini. Maka, sepanjang perjalanan ke arah itu, aku cepat melenting apabila terpijak duri..kawan bilik aku yang seorang itulah menjadi mangsa, gaduh, baik, gaduh, baik. Rupa-rupanya aku terlebih pengharapan kat dia. Dia tak faham, aku paksa. Dia melawan, aku lagilah melawan. Maaflah, sahabat.
Lama-kelamaan, aku mula menerima hakikat untuk bekerja, lalu aku merelakan akal fikiran aku untuk disumbangkan kepada MGW. Sedikit sebanyak ia agak membantu walaupun tak banyak.

Aku dapat merasakan bekerja dengan orang-orang selain ikhwah dan juga bekerja dengan ikhwah. Aku berasa pelik, aku bekerja dengan mereka yang tidak ditarbiyah kadang-kadang lebih melegakan hati dan menyedapkan perasaan. Aku tak tahu mengapa.
Aku nak ucapkan juga setinggi-tinggi terima kasih kepada Qaff Qayyum yang banyak meringankan beban aku selama ni. Hehe.

Terima kasih juga kepada Firdaus yang tak merungut aku menjadi penolong dia. Aku memang tak berapa tahu birokrasi bagai nih..Pening!

Terima kasih juga kepada adik-adik pasukan T aku yang bagi komitmen dan semangat untuk aku terus menapak.

Terima kasih kepada Adam yang sudi meminjamkan telinganya saat aku futur.hehe.

Terima kasih Malaysia! Eh, terima kasih semua!

-saya budak baru belajar-


 
Jualan Buku2 Emas!!

Closing MGW..err, tak penuh pon.. =.='

Bunting NGO2

 
Komiti2 MGW!!

komiti yg rajin

Bee!!



Friday 15 March 2013

Sibuk berteori. Sibuk berperawi.

"Eh Fan, kau buat apa tu?". Kay melangkah masuk ke bilik Irfan.

Irfan menoleh ke belakang, matanya menyorot langkah Kay. Kay merebahkan badannya di atas katil Irfan. Dia mengiringkan badannya menghadap Irfan.

Irfan menjawab dengan bersahaja,"baca ma'thurat lah kawan".

Kay menyengetkan kepalanya sedikit. Keningnya berkerut. "Ma'thurat tu bidaah kau tahu?"

Irfan terpaku seketika. Bacaannya terhenti. Dia bertentang mata dengan Kay. "Seriously?"

Kay menjulingkan matanya ke atas. "Seriuslah sahabat".

"Jadi, aku nak zikir apa?". Irfan meletakkan ma'thuratnya di sisi.

"Hisnul Muslim. Itu semua riwayat sahih". Yakin Kay menjawab.

"Ohh..". Irfan berfikir-fikir seketika. "Kau baca?"

Kay terkesima. "Err...tak".

***

Ape sehh..diorg skola mane dulu??


Min merungut-rungut sendirian dihadapan komputer ribanya.

Azlan sekadar menjeling. Ingin tahu. Namun, rasa ingin tahunya memuncak lalu dia bertanya,"apa merungut-rungut ni, Min?"

Min menoleh sebentar, kemudian pandangannya tertumpu kembali pada skrin komputernya. "Ini ha, kawan aku, sibuk kata doa qunut tu Nabi buat..kan pendapat yang lagi kuat, Nabi tak buat?"

"Ohh..". Azlan sekadar mengangguk-angguk.

"Lagi satu, dia bagi dalail-dalil dari mana entah..aku teliti satu persatu ni, tapi dah terbukti, dalil yang aku bagi lagi kuat. Dia tak nak juga mengalah!". Min membebel sendirian dengan harapan Azlan menyokongnya.

"Dia pun ada hujah dia sendiri..tak apalah Min". Azlan kembali menyambung urusannya di dapur,

"Eh yelah, kalau tak ditegur, mahu melarat dia sebarkan pandangan dia kepada orang lain..naya!"

Azlan berpaling. Dia menatap mata Min. Min berasa janggal lalu bersuara, "apa?"

"Kau solat Subuh pukul berapa pagi tadi?"

Min tersengih-sengih. "Nabi pun pernah terlewat solat Subuh, Lan...". Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

***

Bidaah.

Nabi tak ajar.

Tu tak sunnah.

Tak salaf lah kau.

Perkataan yang selalu kita dengar. Berdesing masuk gegendang telinga. Selalu ditegur salah itu dan ini. Alhamdulillah. Ada yang mahu menegur. Menyelamatkan kita daripada jurang NERAKA. Sebab Nabi bersabda, 

"barangsiapa yang menipu atas namaku dengan SENGAJA, maka disediakan tempat untuknya didalam NERAKA" (Riwayat Bukhari)

Berat sungguh amaran Nabi itu ya? Sangat berat! Dalam Hadis 40 karangan Imam Nawawi juga ada menyebutkan tentang bidaah itu bukan daripada urusan agama ini.



Namun,..

Tapi..

Tetapi..eh sama je kot

Bukan itu tujuan post ini ditulis.




Persoalannya ialah, adakah KITA mengamalkan apa yang kita YAKINI itu? Apa yang kita SUNNAH itu?

Fenomena teori semakin berleluasa. Dalil-dalil dikemukakan. Dari sudut pandang positifnya, masyarakat terutamanya golongan muda mula peka tentang hal AGAMA mereka. Bagus!
Tapi, itu TEORI. Mana PRAKTIKAL nya??

Ini satu amaran KERAS lagi!

Usamah Bin Zaid berkata. Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: 


“Pada hari kiamat nanti akan ada seseorang yang didatangkan, kemudian dilemparkan ke dalam neraka. Isi perutnya terburai, sehingga ia berputar-putar sebagaimana berputarnya keldai yang menggerakkan penggilingan. 


Penghuni neraka pun berkumpul mengerumuninya. 


Mereka bertanya: ‘Wahai fulan, apakah yang terjadi pada dirimu? Bukankah dahulu engkau memerintahkan kami untuk berbuat kebaikan dan melarang kami dari kemungkaran?’. 

Dia menjawab: ‘Dahulu aku memerintahkan kalian berbuat baik akan tetapi aku tidak mengerjakannya. Dan aku melarang kemungkaran sedangkan aku sendiri melakukannya’.” 


(Muttafaqun 'Alaih)

Headshot sket!!






"Eh kau, Al-Kahfi lah sunnah dibaca hari Jumaat! Bukan Yaasin"

Kau bacakah?


Wednesday 13 March 2013

Aku tarik, Ia putus, Aku pegang, Ia Pecah



Gelap,
Kelam,
Malam, Suram..

Aku berlari, seringkali terjatuh,
Aku tak peduli, walau selalu mengeluh,

Terpandang sekilas seutas tali,
Pantas aku menggarap ia,
Takut-takut ia lari,
Aku genggamnya kejap-kejap,

Aku mengharap ia memandu,
Aku hanya ingin tahu, 
Apa ada di atas ya?
Aku cuba memanjat..
Ah!
Baru ku tarik sudah terputus,
Pangkalnya jatuh dihadapanku,

Aku kembali berlari, dalam kelam
Mana jalannya,
Mana petunjuknya..

Dalam sibuk aku berlari,
Jatuh berkali-kali,
Aku temu batang besi,
Aku capai, aku garap kuat-kuat,
Cemas jika terlepas,

Aku cuba ikut, mana dia membawaku,
Hampir separuh perjalanan,
Ia pecah!
Aku menangis!
Aku meraung!
Mana jalannya?

...........................................................................

"Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang BINGUNG, lalu Dia memberikan PETUNJUK" 
(Ad-Duha: 7)

Allah yang tahu jalan dihadapanmu, 
maka kenapa berpegang pada yang ragu?

Manusia itu RAPUH,
sedangkan ALLAH itu UTUH,

mengapa bergantung kepada manusia lagi?

Akal itu terbatas,
namun ILMU Allah tiada batas,

mengapa percaya bulat-bulat akalmu berbanding WAHYU?

(Pesanan ikhlas dari RTM.eh?maaf.
carik skrip jap...oh dah jumpe.ehem!

Pesanan khas buat semua! Tak kiralah budak tarbiyah yang dah tau matlamat hidup manusia, atau budak dakwah yang berpeluh menyebarkan deen Allah, atau budak society yang sibuk bagai naik turun pejabat, atau budak yang masih mencari APA MATLAMAT HIDUP MANUSIA?)


Saturday 2 March 2013

Journey: Off alasan

"Raz, kau buat apa?"

"Lepas stress sikit..". Haraz khusyuk merenung skrin Asus dihadapannya. Tangannya lincah mengawal tetikus. Sesekali wajahnya berkerut-kerut.

"Kau dah siap assignment minggu lepas?". Kay mencapai Berita Hairan? disebelahnya.

Haraz menjawab tanpa menoleh,"aku stress sebab assignment itulah.."

Kay mengangkat kening. "Kau dah start?"

"Hmm, belum lagi. Aku tengok pun dah tertekan, jadi aku ambil masa". Haraz mengangkat bahu.

Kay menjulingkan matanya ke atas. 'Bunyi macam dah buat'.

"Takde moodlah bro!"


***
Kay khusyuk menulis sesuatu. Tiba-tiba bahunya dikepuk. "Weh!"

Kay menoleh kebelakang. "Apa?"

"Rajin nampak?"

"Habis tu bila nak buat kerja ni?". Kay kembali mencoret-coret sesuatu.

"Aku tak bolehlah buat awal-awal ni..". Haraz mencapai remote TV.

"Minggu depan ada daurah kot..". Kay mengingatkan.

"Ala, sempat lagi..". Haraz merebahkan badannya ke atas sofa. 

***
2 minggu kemudian.

Handset Haraz bergetar-getar. Dia menjeling sebentar. '3 missed call from Abang Halim'. Dahinya ditepuk kuat. "Aiseh!" 

"Weh, cepatlah siap!". Kay mengarah sambil tangannya sibuk mencapai baju-baju. Disumbat lipatan-lipatan baju itu ke dalam beg galasnya.

Haraz menggaru-garu kepala. Tangannya gelisah mengetuk-ngetuk meja.

"Eh, kau buat apa lagi? Cepatlah!"

Haraz menelan air liur. "Err, aku tak pergilah rasanya..skip minggu ni"

Hampir bercantum dua kening Kay. Dua matanya merenung ke arah meja Haraz. Berterabur pen-pen dan kertas. 'Dah agak dah'



"Boleh beritahu Abang Halim? Cakap aku ada assignment segera. Nak hantar minggu ni kot". Haraz merayu.

Kay diam. Tangannya meletakkan beg galasnya dibahu. 

"Kay..please?"

Kay mengangkat bahu sambil mencondongkan kepalanya sedikit ke kiri. "Okay"

"Yes! Kaulah sahabat sejati aku! Nanti aku belanja Baskin Robin". Dia kembali menghadap assignment nya.

"Raz, tapi nanti kat akhirat kau jawablah sendiri dengan Allah ya..'assignment aku tak siap lagi ya Allah, sebab tu aku tak dapat pergi daurah'. Ok. Bye!"

Pintu tertutup perlahan. Tangan Haraz berhenti menulis. Air liurnya ditelan perlahan.


..............................................................................................

Kan? Sila sediakan list satu setengah muka surat ALASAN untuk daurah/konferens riang 2 minggu hadapan. kbai!




Thursday 28 February 2013

Ikhwah lah sangat..

Ikhwah,

Aku penat..maaf kalau kau kata aku mengada-ngada,
Aku penat..maaf kalau kau ingat aku ketagih rehat,
Aku penat..maaf kalau kau fikir aku lupa qadhaya umat..

Dahulu, 
aku terharu..
kau percaya padaku,
maka kau beri aku pahala,

Aku juga mengepal buku limaku,
pabila dituang alat-alat penghapus dosa di hadapanku,
aku suka untuk terima.

Namun,
sumpah aku terkesima,
mungkin juga terbelalak sukma,
apabila kau berjumpa tika bagi kerja,
"mari..mari, aku ingin beri kau pahala"
"cepat, tak mahukah syurga?"

Pernahkah kau mengambil berat diri aku?
Pernah kau timbang kewarasan aku?
Hari-hari aku lalui memecahkan siling selalu,
Kau bekerja dengan manusia,
maka aku mengajak kau berfikir secara MANUSIA

Tika aku sunyi,
aku rindu menghadap Ilahi,
tarbiyah diri sendiri,
namun, 
bilakah jarum masa yang kucari?
tiap kali kucuba,
peranti tanpa wayarku berbunyi,
sering..

Tika aku sepi,
aku teringin berbaring bahu-membahu,
sefikrahku,
sekerjaku,
tapi..aku toleh kanan dan kiri,
sepi..
Apabila aku berpuisi dihadapan teman rapatku,
belum difikrahkan lagi,
salah faham pula menghiasi,
fitnah pada jalan ini sendiri,
siapa lagi yang mahu sendiri?

Tolonglah..aku tak suka berburuk sangka..
tapi..fahamlah..
Aku masih baru dan terasa dizalimi..
Ibu ayahku sudah bertanya-tanya, 
akademikku ke mana?
Adik-adikku aku cakna,
abang ke mana?

Aku bukanlah maha sepi,
cuma aku bertanya,
mana ikhwah ku?


Sunday 24 February 2013

Bengkel Pengkaryaan

'Rashdan, tolong daftarkan nama aku esok. Aku datang lambat'

Message sent.

Huh, aku nak datang lambatlah esok. Aku tahu program di UIA ni tak pernah nak tepat waktu.

***

9.10 pagi

"Dan, kau dah daftarkan aku belum?"

"Weh aku on the way ni!"

"Hmm, yalah.."

Aku dah agak dia pun nak lambat juga, hatiku berbisik sambil tergesa-gesa bersiap.

***

Eh. dah mula? Selalu setengah jam dari masa yang diberitahu. Ah, duduk sahajalah.

Aku menyalin segala pembentangan yang Ustaz Zahiruddin buat. Aku memang dah agak bengkel ni tak akan diajar teknik-teknik menulis karya atau apa-apa. Panel sampai 4 yang dijemput. Ustazah Fatimah Syarha pun aku dah pergi bengkel beliau pada tahun lepas. Memang niat aku datang untuk meniup-niup kembali semangat, menepuk-nepuk belakang aku supaya bangun untuk menulis kembali. Maka, tak kecewa sangatlah dengan bengkel penulisan hari ini walaupun ada juga kekecewaan sedikit.

Setelah semangat aku dicucuh api biru oleh Ustaz Zahiruddin, slot seterusnya aku belajar tentang puisi. Bukanlah segala-galanya, tapi masih baik dan bersyukur sebab ini pertama kali aku nak belajar puisi. Selama ini kalau tergerak nak luahkan apa-apa, aku tulis puisi tu ikut sedap dan selera aku. Kalau ia boleh dikatakan 'puisi'. Format sendiri aku buat.

Aku refleks kembali bengkel penulisan oleh Ustazah Fatimah tahun lepas. Memang aku berjaya menghasilkan sebuah novel pun selepas tamat bengkel tu. Malangnya, akibat sikap aku yang agak tergesa-gesa menyiapkan novel tu, ia telah ditolak dengan bergaya oleh beberapa syarikat penerbitan.. =.='  Tahniah!! (nada perli)

Kali ini, aku nak rancang langkah dengan lebih berhati-hati. Langkah satu demi satu.Macam maratib  'amal. Eh apa tu?? Kali ini aku tak nak terjah semberono. Yeah!!


Friday 22 February 2013

Semua orang CAKAP..sapa yang buat??


"Camne esok? Dah mintak cuti?"

"Dah bang, bos kasi cuti".

"Wohaa! Bagus2. Kalau gitu kita wat usrah kul 10 esok, boleh?"

"Boleh je bang. No hal"

............................................................................................................................

Kisah benar sebuah PENGORBANAN. eheh. Klise ah. Lantak kau, post aku.

Jom selak sirah lagi!

Nabi Muhammad berjalan-jalan di tengah kegelapan malam. Kesejukan menggigit. Baginda mencari-cari seseorang. 

Baginda berkata,"adakah sesiapa di sini yang mahu mencari khabar berita daripada pihak musuh?". Kedengaran pihak musuh gabungan tiga puak musyrik yang terbesar ketika itu sedang berkumpul di seberang parit. Perang Ahzab.

Namun, para sahabat yang juga kesejukan dan kelaparan tiada menyahut panggilan. Ada sesetengah mereka yang mengikat batu di perut bagi menahan kelaparan.

Nabi Muhammad terus berjalan sehinggalah baginda tersepak seseorang. Baginda bertanya, "siapa ni?"

"Saya, Huzaifah".

"Bangun hai Huzaifah".

Aduh, aku mengharapkan baginda tidak memanggil aku. Huzaifah Al Yamani pun bangun bagi mematuhi suruhan Rasulullah. Terketar-ketar beliau menahan kesejukan malam.

"Pergi lihat apa yang dibincangkan oleh kaum musyrikin itu".

Huzaifah pun pergi menyusup masuk ke dalam barisan tentera musyrikin bagi mendapatkan berita. Dia pergi dalam keadaan lapar dan sejuk. Baju yang dipakainya pula bukanlah tebal, hanya sehelai kain.

...................................................................................................................

Ada lagi peristiwa seterusnya tentang Huzaifah. Tapi saya nak petik isu PENGORBANAN yang dibuat oleh Huzaifah. Sanggup beliau patuh arahan Nabi Muhammad walaupun keadaannya sangatlah susah. 

Begitu juga dialog pertama tadi. Dia sanggup dipotong gajinya sehari hanya (kalau boleh dikatakan HANYA) untuk datang usrah. Tempatnya juga bukan dekat, 15 minit perjalanan. 

Eleh dekat...15 minit je pun.

15 minit sangat JAUH bagi mereka yang baru nak bertatih-tatih mengikuti tarbiah ni..paham?

Sebenarnya terlalu banyak kisah pengorbanan yang kadang-kadang membuatkan mulut kita ternganga mendengarnya..ha?? (buat mulut besar2)

Jujurnya apabila mendengar kisah pengorbanan sesiapa sahaja, berbagai jenis versi, daripada pengorbanan kekeluargaan sampailah soal tarbiah. Mudah saja hati ini tersentuh, Aduhh. Senang saja saya kaitkan dengan hal dakwah dan tarbiah. Sangat-sangat memberi motivasi.

Ada seorang akh yang mengorbankan bakatnya dalam debat untuk teruskan nafas tarbiah. Ada seorang akh yang sanggup meleburkan RM300 yang boleh diperolehi dalam seminggu juga untuk menjadi salah satu mata rantai tarbiah. Ada yang sanggup ziarah sahabat di negeri yang melangkau 3 negeri walaupun diri tak berapa sihat. Macam-macam cerita yang membangkitkan semangat.

Kalau nak cerita hal pengorbanan orang, panjaaaang!


Cakap, lepas tu tidur.

Ramai orang, tak kiralah ulamak atau rakyat marhaen atau ahli politik yang sibuk menggembar gemburkan sesuatu, lepas tu tidur..eh?

Berjuang baginya hanya cukup bercakap di pentas. Asal sedap dan ramai penyokong. 
Berjuang baginya hanya cukup berhujah atas nama ilmu tapi amalnya...eh mana? 
Berjuang baginya hanya cukup lipat-lipat duit kertas, masukkan dalam tabung..eh, aku dah derma kot.
Berjuang baginya hanya cukup menulis di blog..menjadi blogger terkenal..err, panas pulak bilik ni!

Ramai orang yang berkata tentang PENGORBANAN tetapi sedikit pula yang sanggup BERKORBAN!

Sumber cerita Huzaifah Al Yamani: 65 Gambaran Kehidupan Sahabat oleh Dr Abd Rahman Ra'fat al-Basha, Pustaka Salam. 

Monday 18 February 2013

Hujan dah ajar! Ambik!!

WARNING!!
Post ini hanya sesuai dibaca oleh orang yang TIADA rehat pada Sabtu dan Ahad, tiada masa gelak tawa depan movie, dan juga orang yang sudah membawa konferens ceria. Jika anda bukan dikalangan diatas, sila pergi ke blog lain atau berazamlah untuk menjadi seperti manusia yang PEDULI umat!

-------------------------------------------------------------------------------------

"Assalamualaikum warahmatullah.."

Usai solat Asar aku berwirid sebentar. Huh. Akhir-akhir ni aku selalu masbuk. Mala petaka apelah yang dah menimpa ni.

Aku bangun perlahan-lahan. Niat nak terus balik bilik. Tiba-tiba, mataku terpandang hujan renyai-renyai di luar. Hatiku terasa lembut. Entah mengapa, kakiku tergerak menuju ke arah lobi, pintu masuk utama kolej.

Aku melabuhkan punggungku di atas kerusi empuk yang disediakan. Mataku asyik merenung titisan air hujan yang menimpa dedaunan. Air hujan mengalir indah di jalan tar yang sedikit cerun. Aku lihat langit pula. Biru. Kelihatan air hujan di udara meliang liuk ditiup angin. Fikiranku kosong. Sangat kosong. Bagai tiada masalah yang berlaku di dunia. Lama aku berkeadaan begitu. Pandanganku beralih pula kepada beberapa pelajar yang lalu lalang, tergesa-gesa berlari dari hujan. Bukankah hujan itu di mana-mana? Nak lari ke mana?



Tiba-tiba, aku tergerak untuk bangkit. Aku capai cermin mataku lalu kusimpan ke dalam kocek seluar. Aku menghulurkan kakiku agar ditimpa titisan hujan. Aku terus menapak di atas tar hitam yang basah. Hatiku dilanda ketenangan yang maha hebat. Segar. Kalaulah tiada orang, mahu sahaja aku menjerit sekuat hati! Benarlah, hujan itu rahmat.

Ketika itu aku berfikir, oh rupanya hidup ini indah. Hidup ini enjoy! Ah, kenapa aku selalu mengeluh itu dan ini...susah. Aku berangan lagi. Aku terasa begitukah SYURGA? Ah, indahnya. Tenang gembira setiap masa, tanpa bosan. Hatiku terus melonjak-lonjak ingin menjejak kaki kedalam syurga. Namun, tiba-tiba...aku terfikirkan amalku. Cukupkah?

Hujan. Aku berpatah balik. Masih dibelai titisan hujan. Hajatku ingin berlama-lama dibelai kedinginan hujan. Peduli apa orang kata. Tiba-tiba aku rasa aku zalim. Aku mengenang jadualku yang penuh dengan aktiviti.
Wah, hebat kau!
Banyak busy lah ini orang!!
TIDAK. Aku rasa aku zalim. Aku hampir gagal membahagikan masaku dengan sempurna. Komitmen aku dengan sempurna. Aku selalu ikut telunjuk orang. Padahal aku lebih tahu apa yang baik buat diriku. Tiba-tiba terngiang-ngiang kata-kata Ustaz Alias Othman,
"kamu kenalah berani untuk berkata TIDAK!"

Ya. Perkara yang jarang aku buat. 
'Malam ni ada meeting. Diharap dapat hadir'. Maka, aku hadir tanpa berfikir panjang. Padahal, akademikku entah ke mana. Mutarabbi aku tak mendapat perhatian secukupnya. Keluargaku entah apa khabar berita. Ikhwahku apa perasaannya.
Aduhai..ya benar sukar nak menolak kerana itu tanggungjawab. Tapi, cubalah nilai dengan TELITI keutamaan diri. Kata Ustaz Alias Othman lagi,
"Jika sudah sampai siling, beritahulah..takut-takut kita mengabaikan hak-hak yang lain"

Seperti yang sudah termaktub dari awal. 
Post ini bukanlah untuk mereka yang rindukan RunningMan. 
Bukan untuk mereka yang melayan WondorGurl sampai ketagih. 
Bukan untuk mereka yang punya KELAPANGAN di hujung minggu. 
Bukan untuk mereka yang masih ada masa DOTA sampai ke Subuh.
Bukan juga untuk mereka yang suka beralasan,'ah, orang lain kan ada!" apabila dikatakan umat MEMERLUKAN kau!

Jika anda salah seorang di atas, uhuk2, sila beralih ke blog lain. Harap maklum.