Wednesday 5 August 2015

Aku dan Pakcik

28 Ramadan.

Dah sebulan lebih aku kerja.

Macam-macam dah aku rasa, kena maki dengan customer, “kau nak kerja ke nak sembang?? Bodoh!”. Walhal aku baru keluar dari bahagian dalam kedai dan tak tahu apa-apa yang berlaku. 
Pernah nak termuntah kutip sampah dalam longkang bernajis manusia, busuk dia sampai naik ke otak.
Tak kurang juga dapat duit RM2 dari customer, dan yang paling penting dapat ucapan terima kasih.

2 hari lepas aku diberitahu. “Fati, Rabu dengan Khamis ni kau keje kat Sekinchan ye..kat sana tak cukup orang”, arah manager.

Mestilah aku tak puas hati tiba-tiba kena pindah, walaupun hanya dua hari. Jarak tempat tu lebih kurang 25 minit, duit minyak lagi, pekerja sana aku tak kenal, yang paling penting..tinggal 2 hari bulan puasa nak habis, mestilah aku nak berbuka sambil tengok mercun kat langit malam raya tu dengan kawan-kawan aku.  

Alasan je sebenarnya. Aku dah selesa dengan tempat kerja yang ini, aku tak suka sesuaikan diri lagi, aku tak suka keluar dari zon selesa sejujurnya. Susah jadi orang anti-sosial macam aku ni.

Hari ini, 28 Ramadan, aku dah pun pindah tempat kerja. Hambar sejujurnya. Kawan-kawan kerja orang-orang tua dan seorang janda. Aku taktau nak mulakan dari mana, sebab mindset aku masa tu, aku malas nak sembang.

Aku senyum paksa pada seorang pakcik tu, nak berbual, tapi aku tak tahu nak cakap apa. Aku pun tanya nama dia. Pakcik Ramlee rupanya.


Photo credited to: http://www.tellyouall.com


Aku diam lagi. Tengok langit gelap malam. Bosan.

“Dik, kerja sampai bila?”, Tanya Pakcik Ramlee. Aku masih ingat lagi senyuman dia, senyum dia macam senyuman Bahrain.

“Saya sementara je, pakcik..tengah cuti sem..”, jawab aku sengih-sengih sebab pakcik tu ingat aku pekerja tetap di sana. Dah lama iklan ‘jawatan kosong’ tu tak bersambut.

Pakcik tu pun beredar melayan pelanggan yang datang. Ramai orang kenal dia rupanya. Tak hairanlah, ini tempat dia.

Isyak dah masuk. Aku minta izin nak pergi solat. Terawih sekali. Hajatnya aku nak solat terawih sampai setengah jam sebab aku memang tak ada mood nak kerja masa tu, ternanti-nanti masa punchcard untuk balik. Terkenang aku dengan kawan aku yang ambil masa solat sampai 40 minit, aku selalu bengang dengan dia. Tapi masa bergurau, gelak sama-sama balik, tak jadi nak marah. Aku batalkan niat aku nak berlama-lama solat.

Aku keluar solat sambil beritahu Pakcik Ramlee giliran dia untuk solat. Dia pun beredar ke belakang kedai.

Aku bosan lagi. Tempat baru ni memang tak ramai orang. Dan sempit. Walaupun kerja disini tak penat macam tempat kerja lama, aku tetap tak suka. Mesti kawan-kawan aku tengah gelak gembira kat sana ni, bisik hati aku dilanda kebosanan.

Lama juga aku berkeadaan sebegitu sambil layan pelanggan yang datang. Tiba-tiba ada orang hulur sesuatu. Aku menoleh ke kanan, Pakcik Ramlee letak secawan Nescafe panas dihadapan aku.

“Nah, minum ni boleh tahan kerja lama”,ujarnya. Dia kerja 12 jam, dari 7 malam ke 7 pagi.

Aku berterima kasih sambil membelek-belek cawan di atas meja hadapan aku.

“Kamu belajar ambil kos apa?”, tanya beliau.

“Farmasi..”.

“Oh, baguslah..anak pakcik pun ambil kos tu jugak dulu, tapi kat universiti swasta lah..buat ubat-ubat kan?”.

Aku mengangguk-angguk lalu bertanya,”anak pakcik tahun berapa dah sekarang?”.

“Dia dah berhenti, tak boleh bawak katanya..”, jawab beliau sambil mencicip air ditangannya.

“Macam tu pulak..mahal tu yuran swasta..”,jawab aku agak tak berpuas hati dengan anak pakcik tu.

“Nak buat macam mana..dah dia kata tak boleh bawak..”.

Aku tetap tak puas hati. “Mana boleh dia senang-senang cakap macam tu..”.

“Baguslah kalau kau fikir macam tu, dik. Anak pakcik tak fikir macam tu..”,jawab pakcik tu lagi.

Kami terdiam. Dia menyambung lagi,”RM20 000 pakcik pinjam dengan bank, sampai sekarang tak habis bayar lagi..”.

Aku tercengang. RM20 000?? Bila nak habis bayar dengan kerja jadi attendan minyak sahaja!

Aku tak tahu nak respons apa lagi, cuba tukar topik. “Bini pakcik ada kat rumah? Kerja lagi?”.

“Ada..dia kerja kilang kat Klang, bawak sekali anak pakcik yang berhenti belajar tu kerja dengan dia..”. Aku lupa isterinya kerja dimana, tapi tempat lebih kurang dua jam dari tempat kerja aku sekarang ni.

Jauhnya dia kerja..berapa kali seminggu tu dia balik sini agaknya. Aku terfikir-fikir. Banyaknya dugaan hidup pakcik ni. Tapi aku tengok muka dia selalu senyum sahaja.

Perbualan kami diselang-seli dengan melayan pelanggan yang datang. Mahu kena maki hamun dengan bos kerja asyik bersembang je. Haha.

Pakcik Ramlee sambung cerita dia lagi. “Anak pakcik lelaki sorang kena masuk jail..”.

Aku tak berapa dengar masa tu. Aku angguk je lah.

“Kena tangkap sebab hisap dadah..”, kata beliau.

“Eh..anak pakcik kena tangkap polis??”, tanya aku kembali. Macam tak percaya pula.

Pakcik Ramlee mengangguk selamba. Macam kisah itu dah diceritakan selalu. Kebal sudah hatinya.

Aku menggeleng-geleng lagi. Hutang RM20 000 pun dah cukup untuk buat aku migrain, apatah lagi anak aku masuk penjara, fikirku.

“Pakcik ada lagi ke anak lelaki lain?”, tanya aku.

“Ada..kat rumah tu..”.

“Belajar lagi? Atau dah kerja?”. Teruja pula aku nak bersembang walhal sebelum tu aku pemalas tahap panda.

“Mana ada kerja..duduk rumah, makan tidur je kerjanya..”.

Aku menepuk dahi aku dalam bayangan kepala aku. Takut kalau aku buat betul-betul, kecik hati beliau.

Allah..entah nikmat Tuhanku mana lagi yang aku nak dustakan..

Aku menghirup sedikit Nescafe panas yang beliau bancuhkan untuk aku. Terasa lain perasaannya. Timbul satu kelegaan yang amat sangat dalam hati aku. Aku berasa tenang.

Ramai sangat yang hidup berkali-kali ganda susah daripada kita di luar sana, ujian yang jauh lebih berat, dan menyesakkan dada.

Kita susah nak menghargai apa yang kita ada, selagi apa yang kita ada itu, belum tiada lagi.

Itu cerita 28 Ramadan dulu. Disebalik timbunan cerita-cerita yang ada, aku memilih yang ini.


“Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah hendak kamu dustakan?”


Wallahu’alam.

Monday 13 April 2015

Ukhuwah Cap Ayam

"Weh Mat, pergi mana?"

"Aku ada program. Asal?",jawab Mat sambil memasukkan beberapa helai kertas ke dalam beg sandangnya. Tergesa-gesa dia menarik zip beg itu. Kelam kabut gayanya.

"Aku tengok selalu kau sibuk..kau buat apa kat luar tu?". Leman memusingkan badannya menghadap kearah Mat. Dahinya berkerut. Ingin benar dia tahu jawapannya. Lama sudah dia pendam.

Mat kelihatan berfikir-fikir. "Hmm..aku banyak program. Kadang-kadang kena pergi perkampungan Orang Asli, kadang-kadang mengajar budak-budak mengaji.. Hari tu seharian aku tak ada kat bilik sebab aku pergi ceramah Ustaz Kassim..", jawab Mat sambil membilang-bilang jarinya.

Leman mengeluh panjang.

"Kenapa?". Mat mengangkat bahunya.

"Tu kawan sebilik kita 5 orang.. Dah 3 hari tak solat.. Kau tahu?". Leman kembali menatap skrin komputernya.

Mat menggaru-garu dagunya yang tidak gatal. "Hmm, ok..".

Leman pantas menoleh kearahnya. "Ok?".

Mat mengangkat kening sambil menyandang beg. "Ok..", jawabnya lagi sambil mengangkat bahu. Kemudian, dihalakan langkahnya keluar bilik.

Leman berkerut seribu.

***

Sibuk untuk ummah?

Photo credited to http://www.sodahead.com/


Antara penyakit (saya kira ini satu penyakit yang berbahaya) yang melanda anak muda gerakan Islam kini ialah kurangnya perhatian dengan lingkungan mereka sendiri. Lingkungan yang dekat. Lingkungan yang banyak dihabiskan masa bersama. Bersama ke kelas, makan, main, berkongsi idea dan pendapat, dan juga berkongsi meja tulis. Bukan sengaja saya kira, tetapi kerana fokus itu sudah pergi ke tempat lain, maka lingkungan yang dekat ini diabaikan. 

Sibuk berusrah. sibuk bawa usrah. sibuk meeting, sibuk wacana, diskusi, tamrin, bedah buku, nadwah, daurah dan senarai akan berterusaaannn dengan begitu panjang. Ia sangat memerlukan tumpuan dan kerahan fikiran untuk menjayakan satu-satu matlamat. Ya, saya juga merasainya!

Namun, tidak ingatkah kita bahawa dakwah Nabi Muhammad yang kita cintai itu bermula dengan Siti Khadijah? Isterinya. Keluarganya. Orang yang paling rapat dengannya. 

Lupakah kita bahawa orang yang kedua menyertai Islam ini ialah Abu Bakar? Sahabat baiknya. Kepercayaannya.

Dakwah apa yang kita perjuangkan jika bukan bermula daripada teman-teman yang rapat? Kawan yang selalu menjadi sembang cerita?

"Ini strategi akhi. Kita kena cari yang berpotensi untuk kita kembangkan!".

Tidak saya akui bahawa mencari 'logam' yang bernilai ini amat perlu bagi meneruskan kesinambungan dakwah. Kalau tidak, siapa yang mahu berfikir strategi terbaik..siapa pula yang mampu bercakap dengan petah mempengaruhi orang..siapa pula yang boleh menyatukan pendapat..

Tetapi saya musykil..kenapa dah berbelas-belas tahun, orang dah bersilih ganti..masih memerlukan orang-orang yang berpotensi untuk dicari? Tidak cukupkah orang-orang yang berpotensi sebelum ini? Bila nak tarik orang yang masih terkapai-kapai dalam lubang kejahilan tu?

Muhasabah sendiri.

Itu dari sudut pandang 'orang dakwah'.

Kemana sebenarnya ukhuwah yang ingin dibawa?

Photo credited to http://www.trendingnewsroom.com/


Hampir setiap pagi kita celik mata, wajah kawan-kawan kita yang membuka tirai pagi.

"Weh brekpes jom?".

"Bola jom pagi ni?".

"Ko nak pegi kelas naik apa?".

Berbual. Makan. Bercerita masalah. Berkongsi suka. Melenyapkan duka.

Semua akan diluahkan kepada kawan. 

Pernahkah kita terfikir, kemana persahabatan ini akhirnya? 

Lupakah kita akan firman-Nya..

A067
Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh). (Az-Zukhruf:67)


Ah, apalah gunanya bersama gembira hanya untuk berada didunia yang sementara ini? 


A112
Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): "Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?"
A113
Mereka menjawab: "Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung

(Al-Mu'minuun: 112-113)

Sangat sementara. Sekejap sangat!


Maka, tak terfikirkah kita untuk bersama kawan-kawan yang menjadi teman berkongsi makanan, berkongsi masalah, berkongsi tempat tidur..eh? Malah, tempat berlawak, tempat meriba, dan gelak tawa ini, untuk bersama di akhirat?

Dan untuk bersama di akhirat adalah dengan TAKWA!

Jika tidak jadilah seperti amaran Allah dalam ayat ini:

"Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain".

Tentulah jika TAKWA itu tak ada dalam hati SENDIRI, tak bolehlah nak bagi pada orang lain kan?

Dan, saya sangat pasti jalannya tak mudah. Ia perlu MUJAHADAH. Bersungguh-sungguh!

Tak tipu, SUSAH! Tapi BOLEH!

Tariq Ramadan dalam ceramahnya 'Path to Justice: The Real Meaning of Jihad' mengatakan,

 "Worshipping Allah because of FEAR is not enough,
you need to do it because of LOVE,
it is HARD, but it is the GOAL,
when there is the goal, there is the PATH,
when there is the path, there is STRUGGLE. 
That struggle is the JIHAD!"