Wednesday, 5 August 2015

Aku dan Pakcik

28 Ramadan.

Dah sebulan lebih aku kerja.

Macam-macam dah aku rasa, kena maki dengan customer, “kau nak kerja ke nak sembang?? Bodoh!”. Walhal aku baru keluar dari bahagian dalam kedai dan tak tahu apa-apa yang berlaku. 
Pernah nak termuntah kutip sampah dalam longkang bernajis manusia, busuk dia sampai naik ke otak.
Tak kurang juga dapat duit RM2 dari customer, dan yang paling penting dapat ucapan terima kasih.

2 hari lepas aku diberitahu. “Fati, Rabu dengan Khamis ni kau keje kat Sekinchan ye..kat sana tak cukup orang”, arah manager.

Mestilah aku tak puas hati tiba-tiba kena pindah, walaupun hanya dua hari. Jarak tempat tu lebih kurang 25 minit, duit minyak lagi, pekerja sana aku tak kenal, yang paling penting..tinggal 2 hari bulan puasa nak habis, mestilah aku nak berbuka sambil tengok mercun kat langit malam raya tu dengan kawan-kawan aku.  

Alasan je sebenarnya. Aku dah selesa dengan tempat kerja yang ini, aku tak suka sesuaikan diri lagi, aku tak suka keluar dari zon selesa sejujurnya. Susah jadi orang anti-sosial macam aku ni.

Hari ini, 28 Ramadan, aku dah pun pindah tempat kerja. Hambar sejujurnya. Kawan-kawan kerja orang-orang tua dan seorang janda. Aku taktau nak mulakan dari mana, sebab mindset aku masa tu, aku malas nak sembang.

Aku senyum paksa pada seorang pakcik tu, nak berbual, tapi aku tak tahu nak cakap apa. Aku pun tanya nama dia. Pakcik Ramlee rupanya.


Photo credited to: http://www.tellyouall.com


Aku diam lagi. Tengok langit gelap malam. Bosan.

“Dik, kerja sampai bila?”, Tanya Pakcik Ramlee. Aku masih ingat lagi senyuman dia, senyum dia macam senyuman Bahrain.

“Saya sementara je, pakcik..tengah cuti sem..”, jawab aku sengih-sengih sebab pakcik tu ingat aku pekerja tetap di sana. Dah lama iklan ‘jawatan kosong’ tu tak bersambut.

Pakcik tu pun beredar melayan pelanggan yang datang. Ramai orang kenal dia rupanya. Tak hairanlah, ini tempat dia.

Isyak dah masuk. Aku minta izin nak pergi solat. Terawih sekali. Hajatnya aku nak solat terawih sampai setengah jam sebab aku memang tak ada mood nak kerja masa tu, ternanti-nanti masa punchcard untuk balik. Terkenang aku dengan kawan aku yang ambil masa solat sampai 40 minit, aku selalu bengang dengan dia. Tapi masa bergurau, gelak sama-sama balik, tak jadi nak marah. Aku batalkan niat aku nak berlama-lama solat.

Aku keluar solat sambil beritahu Pakcik Ramlee giliran dia untuk solat. Dia pun beredar ke belakang kedai.

Aku bosan lagi. Tempat baru ni memang tak ramai orang. Dan sempit. Walaupun kerja disini tak penat macam tempat kerja lama, aku tetap tak suka. Mesti kawan-kawan aku tengah gelak gembira kat sana ni, bisik hati aku dilanda kebosanan.

Lama juga aku berkeadaan sebegitu sambil layan pelanggan yang datang. Tiba-tiba ada orang hulur sesuatu. Aku menoleh ke kanan, Pakcik Ramlee letak secawan Nescafe panas dihadapan aku.

“Nah, minum ni boleh tahan kerja lama”,ujarnya. Dia kerja 12 jam, dari 7 malam ke 7 pagi.

Aku berterima kasih sambil membelek-belek cawan di atas meja hadapan aku.

“Kamu belajar ambil kos apa?”, tanya beliau.

“Farmasi..”.

“Oh, baguslah..anak pakcik pun ambil kos tu jugak dulu, tapi kat universiti swasta lah..buat ubat-ubat kan?”.

Aku mengangguk-angguk lalu bertanya,”anak pakcik tahun berapa dah sekarang?”.

“Dia dah berhenti, tak boleh bawak katanya..”, jawab beliau sambil mencicip air ditangannya.

“Macam tu pulak..mahal tu yuran swasta..”,jawab aku agak tak berpuas hati dengan anak pakcik tu.

“Nak buat macam mana..dah dia kata tak boleh bawak..”.

Aku tetap tak puas hati. “Mana boleh dia senang-senang cakap macam tu..”.

“Baguslah kalau kau fikir macam tu, dik. Anak pakcik tak fikir macam tu..”,jawab pakcik tu lagi.

Kami terdiam. Dia menyambung lagi,”RM20 000 pakcik pinjam dengan bank, sampai sekarang tak habis bayar lagi..”.

Aku tercengang. RM20 000?? Bila nak habis bayar dengan kerja jadi attendan minyak sahaja!

Aku tak tahu nak respons apa lagi, cuba tukar topik. “Bini pakcik ada kat rumah? Kerja lagi?”.

“Ada..dia kerja kilang kat Klang, bawak sekali anak pakcik yang berhenti belajar tu kerja dengan dia..”. Aku lupa isterinya kerja dimana, tapi tempat lebih kurang dua jam dari tempat kerja aku sekarang ni.

Jauhnya dia kerja..berapa kali seminggu tu dia balik sini agaknya. Aku terfikir-fikir. Banyaknya dugaan hidup pakcik ni. Tapi aku tengok muka dia selalu senyum sahaja.

Perbualan kami diselang-seli dengan melayan pelanggan yang datang. Mahu kena maki hamun dengan bos kerja asyik bersembang je. Haha.

Pakcik Ramlee sambung cerita dia lagi. “Anak pakcik lelaki sorang kena masuk jail..”.

Aku tak berapa dengar masa tu. Aku angguk je lah.

“Kena tangkap sebab hisap dadah..”, kata beliau.

“Eh..anak pakcik kena tangkap polis??”, tanya aku kembali. Macam tak percaya pula.

Pakcik Ramlee mengangguk selamba. Macam kisah itu dah diceritakan selalu. Kebal sudah hatinya.

Aku menggeleng-geleng lagi. Hutang RM20 000 pun dah cukup untuk buat aku migrain, apatah lagi anak aku masuk penjara, fikirku.

“Pakcik ada lagi ke anak lelaki lain?”, tanya aku.

“Ada..kat rumah tu..”.

“Belajar lagi? Atau dah kerja?”. Teruja pula aku nak bersembang walhal sebelum tu aku pemalas tahap panda.

“Mana ada kerja..duduk rumah, makan tidur je kerjanya..”.

Aku menepuk dahi aku dalam bayangan kepala aku. Takut kalau aku buat betul-betul, kecik hati beliau.

Allah..entah nikmat Tuhanku mana lagi yang aku nak dustakan..

Aku menghirup sedikit Nescafe panas yang beliau bancuhkan untuk aku. Terasa lain perasaannya. Timbul satu kelegaan yang amat sangat dalam hati aku. Aku berasa tenang.

Ramai sangat yang hidup berkali-kali ganda susah daripada kita di luar sana, ujian yang jauh lebih berat, dan menyesakkan dada.

Kita susah nak menghargai apa yang kita ada, selagi apa yang kita ada itu, belum tiada lagi.

Itu cerita 28 Ramadan dulu. Disebalik timbunan cerita-cerita yang ada, aku memilih yang ini.


“Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah hendak kamu dustakan?”


Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment