"Hidup Syria! Jatuhkan Bashar!"
Begitulah antara laungan peserta-peserta himpunan Syria petang tadi. Sangat bersemangat dan meledakkan simpati.
Kami bergerak dari masjid KLCC ke Tabung Haji. Namun, KID dan ikhwah agak terlambat kerana kebanyakan peserta lain sudah mendahului pergi ke kedutaan Syria. Jadi, kami minum-minum dulu (penat berjalan tengah terik matahari, KL kan ada kesan rumah hijau), sambil berjalan sambil minum..err,ok tak beradap. Dalam perjalanan ke tempat perhimpunan tu, kami melalui pelbagai kedutaan seluruh dunia. Ada Venezuela, Cambodia, USA, Iraq dan lain-lain lagi yang mempunyai keistimewaan masing-masing. Kedutaan USA yang paling menakjubkan, besar, mewah, keselamatan yang ketat...dan hampeh. Tiba-tiba hati terasa benci tengok kedutaan yang dikawal rapi tu, sunyi sepi. Nak je baling batu.
Kedutaan Cambodia agak menyedihkan, kecil macam rumah teres 2 tingkat. Mungkin itulah yang mereka mampu kerana rakyatnya juga miskin-miskin. Memadailah para pegawainya juga menunjukkan kerendahan.
Kami teruskan perjalanan, sangat jauh KID rasa, walaupun tak jauh mana, tapi disebabkan panas terik memancar, terasa berjalan macam tu agak menyeksakan. Kira berbaloilah pergi bersama ikhwah kerana ada teman berbual-bual, gelak-gelak, tak terasa sangat jauh perjalanan dan terik matahari.
Dalam beberapa belas minit entah, barulah sampai di tempat kejadian..eh, tempat perhimpunan. Memang ramailah orang yang sedang bersorak-sorak, peh! Agak bersemangat di situ sebenarnya. Kemudian, ada ucapan daripada Presiden IKRAM, disusuli dengan Presiden ABIM dan kemudian Presiden HALUAN. Ada banyak NGO yang terlibat sebenarnya tapi KID nampak tiga NGO tadi je, HALUAN paling terserlah disebabkan baju kuning yang mereka pakai. IKRAM ramailah juga tapi mungkin baju biru yang dipakai tak menyerlahkan sangat.
Apa yang menarik hati KID sangat-sangat, masa bersorak tu entah kenapa tiba-tiba rasa nak mengeluarkan air mata. Syahdu. Tiba-tiba terkenangkan nasib ikhwah-ikhwah Syria, pengorbanan mereka, ditambah lagi dengan kehadiran beberapa warga Syria. Tak boleh diungkapkan dengan kata-kata tentang perasaan itu kerana ia perlu dirasa sendiri dengan hati. Memang selama ni KID banyak baca tentang Syria berdasarkan apa yang tertera di wall fb. Baca..baca..baca..dan kemudian tutup. Sedih juga, tapi ia bagai terbang bersama angin malam. Sekejap sahaja. Namun, apabila kita merasai sendiri suasana dan keadaan mereka, barulah kita dapat menghayati. KID baru berkumpul bersama mereka yang prihatin, belum pun pergi menjengah sendiri Syria, tapi ada 'rasa' tu.. Maka, memang benarlah orang kata kalau nak rendahkan ego, pergilah buat kerja-kerja kemanusiaan seperti Palestin;kita ada Aqsa Syarif dan lain-lain NGO, Cambodia; ada beberapa jemaah yang prihatin terhadap negara mereka dan kerja-kerja amal yang lain. Ingat! Hidup untuk memberi sebanyak-banyaknya.
Satu lagi yang KID cukup terkesan ialah saat pemuda IKRAM beramah mesra dengan pemuda HALUAN dan sebaliknya. Pemuda ABIM oleh kerana tak pakai baju rasmi, maka tak kenal siapa tapi boleh disimpulkan bahawa mereka bersatu demi agama. Selama ini yang selalu mencucuk gegendang telinga KID ialah tak puas hati jemaah ini dan itu, tapi kali ini, depan mata KID sendiri mereka mesra bagai tak mengenal erti perbezaan. Maka, amat salah apabila ada yang berkata satu hari nanti jemaah-jemaah pasti akan bertelingkah lalu mereka membuat kesimpulan sendiri, lebih baik BEBAS! Mungkin maksud 'bebas' itu seperti ayam yang bebas berlari-lari di dalam sangkar, sangkar kecil tapi disangka sudah bebas.
Kesimpulannya, setiap kejadian ada hikmah, cuma kepekaan kita yang dapat menentukan berapa banyak kita kutip hikmah yang ada. Wallahu'alam.