Wednesday, 13 September 2017

Bergelar graduan Farmasi

Lama rasanya tak menulis ni. Rasa-rasanya sepanjang 4 tahun berdiam di Sekolah Farmasi membuatkan jari aku turut kaku berdiri. Jujurnya, tak banyak sangat yang menarik ingin dinukilkan sebagai seorang pelajar Farmasi, mungkin sekurang-kurangnya bagi aku lah. Apalah yang menariknya apabila peningkatan dari tahun ke tahun hanya berdepan dengan kuiz? Dari tahun pertama, setiap seminggu satu kuiz, sekurang-kurangnya. Pergi ke tahun kedua, sekurang-kurangnya seminggu 1 atau 2 kuiz. Tahun ketiga paling bercelaru, 3 kuiz setiap minggu itu perkara biasa! Entahlah, mungkin biasa sahaja bagi rakan-rakan aku yang cepat otaknya.

Tapi bagi aku, didalam kelas aku tak begitu mudah percaya sesuatu fakta, dibalik belahan sunyi kelas yang hanya ada suara sang pensyarah, otak aku ligat berfikir, kenapa dan kenapa? Atau betul ke macam ni? Akhirnya, aku mengakhiri kelas dengan keraguan. Aku rasa keraguan tu bagus, sebab dia menimbulkan soal jawab dalam diri yang akhirnya akan membawa kepada titik kebenaran. Malangnya, bagi aku ada dua sikap yang saling kontra; kritis dan pemalas. Ya, aku kritis dengan apa yang orang katakan. Tapi dalam masa yang sama, aku pemalas untuk mencari kesahihan benda tu. Haha. Kelakar bukan? Maka, berakhirlah pertanyaan-pertanyaan aku tu hanya berlegar-legar dalam kepala sahaja.

Begitulah kehidupan 4 tahun ijazah sarjana muda aku. Haha.

***

Lalu, sekarang ni, aku boleh dikatakan graduan Farmasi, bukan? Hmm, sejujurnya aku pun tak tahu sangat tentang disiplin-disiplin dalam bidang ni. Konsepnya ya, aku faham. Tapi perinciannya banyak yang aku lupa. Aku bukan seorang penghafal buta. Setiap yang aku hafal, aku harus tahu sebab musababnya. Maka, jadilah aku bukan seorang penghafal dos yang tegar. Sedangkan itulah antara teras seorang ahli farmasi sebenarnya.

Nak dijadikan cerita, pada tahun 3, aku jatuh cinta dengan apa-apa yang berkaitan bidang pengkajian. Terutamanya bidang penemuan ubat (drug discovery). Aku terbayang-bayang Fleming yang menemukan Penicillin secara tak sengaja, dan Tu Youyou yang dapat ekstrak Artemisinin daripada tumbuh-tumbuhan. Aku merasakan puas kalau aku berjaya jadi macam mereka!

Jadi, aku mula fokus ke arah subjek-subjek yang mengajarkan ilmu-ilmu drug discovery ni seperti Herbal Medicine, Pharmacognosy (walaupun aku tak faham dengan pathway yang berselirat tu), dan Medicinal Chemistry. Biotech? Siapa kata aku minat Biotech? Aku cuma PIC subjek tu, kenalah rajin sikit. 

Aku sangat berharap kalau suatu hari nanti aku dapat belajar cara-cara nak menemukan compound yang banyak tu. Setakat ni aku baru tahu serba sedikit untuk cari daripada tumbuh-tumbuhan, itupun untuk mendapatkan 'single compound', aku masih lagi kurang kemahiran. Tapi aku tak ada idea sangat macam mana nak dapatkan compound daripada bakteria, fungi ataupun mineral batuan. 

Oklah. Itu serba sedikit impian aku didunia ini.

***

Sebenarnya tujuan aku menulis ni ialah untuk bacaan masa depan, supaya Fathiy yang akan datang kenal betul-betul siapa Fathiy yang dulu. Yalah, tak tulis nanti lupa pula kan?

Habis semester kelapan, aku berehat-rehat sebentar di rumah lebih kurang dalam 2 bulan sebelum memulakan langkah baru aku selepas graduasi. Aku memilih untuk menjadi pembantu kajian (research assistant-RA) kepada pensyarah aku. Dengan elaun yang hanya cukup-cukup makan untuk aku bayar sewa rumah, minyak petrol, makan minum dan lain-lain, aku menyanggupkan diri aku untuk berada di Kuantan demi untuk melihat impian aku tercapai. 

***

Ah, semua pun tahu yang langit tak selalunya cerah. 

Perjalanan aku setakat dua bulan lebih sebagai RA banyak juga dugaannya. Hajat untuk aku pergi lebih jauh dalam dunia akademik ni mungkin ditangguhkan, mungkin bukan masa ni? 

Aku tiba di Kuantan dengan hati yang tekad untuk belajar banyak benda, tapi dalam masa yang sama risau juga. Yelah, kawan-kawan kau ramainya yang kerja sambilan sambil menunggu panggilan SPA untuk hospital yang bakal diberi gaji RM4400 setiap bulan, sangat tinggilah berbanding graduan baru dari bidang-bidang lain. Ada juga yang dah berkecimpung dalam industri farmaseutikal yang karier pekerjaannya nampak lebih terjamin nanti.

Aku? Memilih untuk sambung Ijazah Sarjana (Master), yang entah berapa tahun lagi boleh habis, berapa banyak lagi duit nak digunakan dan kalau habis pun kerjaya apa yang boleh menjamin hidup untuk anak bini nanti? Tambah lagi anak sulung yang tak ada masa nak 'try and error' dalam hidup ni. Tapi, dengan semua dilema ni, aku masih lagi tekad nak sambung Master.

Tapi rupa-rupanya tak semudah dengan keazaman. Haha. Tiba-tiba dipertengahan jalan, geran kajian pensyarah aku ditolak oleh kerajaan. Sudahlah semua biasiswa ditutup, geran pula tak ada. Siapa nak bayar elaun bulanan aku nanti? Sudahlah ada hutang belajar masa degree, haha.

Maka, berlari-larilah aku mencari supervisor (pemantau) baru yang ada geran dan kajiannya masih lagi dalam skop minat aku. Berminggu-minggu jugalah aku hubungi seorang demi seorang, ada yang bagi harapan, tapi hanya angan-angan. Haha.

Setelah dua bulan perkara ni berulang-ulang, aku pun terasa tawar hati. Aku terfikir, "mungkin bukan sekarang? Mungkin nanti? Atau mungkin anak aku nanti?".

Entah. Sekurang-kurangnya apa yang aku rugi cuma dua, atau mungkin tiga bulan sahaja. Dan sedikit duit belanja. Itu sahaja. Aku belum pergi lagi jauh macam seorang pelajar Master yang sudah 2 tahun setengah masih tak habis lagi, dia kata,"sampai satu tahap, aku pun tak tahu aku buat apa sekarang ni".

***

Apa-apa pun, satu benda yang paling penting aku dapat ialah tawakal. Tawakal ni selalunya hadir apabila segala-galanya bukan atas kawalan kita. Masa kita hanya ada mimpi. Hanya ada impian. Tapi usaha kecil kita tu memustahilkan untuk capai impian sebesar itu. Masa tu lah tawakal membawa bersama harapan, memberi sedikit pertolongan, membisikkan bahawa,"depan tu ada cahaya, sikit je lagi".

No comments:

Post a Comment